ETCon26 fokus agenda peralihan tenaga Malaysia - Utusan Malaysia

ETCon26 fokus agenda peralihan tenaga Malaysia

SHAMSUL Ahmad ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran ETCon26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) memfokuskan peranan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama transformasi sektor tenaga dan pembangunan ekonomi mampan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, tema tahun ini, tenaga dan kecerdasan buatan AI, sinergi memperkasa peralihan tenaga, dipilih bagi mencerminkan kepentingan AI sebagai teknologi utama yang mampu menyokong pelaksanaan agenda peralihan tenaga secara lebih cekap dan berkesan.

“Industri tenaga kini memasuki fasa yang lebih mencabar apabila pelaksanaan projek tenaga boleh baharu perlu dilakukan secara besar-besaran dalam keadaan kekangan kewangan dan infrastruktur sedia ada. 

“Dalam situasi tersebut, penggunaan sistem berasaskan AI membantu meningkatkan integrasi tenaga boleh baharu, mengoptimumkan pengurusan grid elektrik serta meningkatkan kecekapan tenaga pada skala yang lebih luas,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran ETCon26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Persidangan kali ini memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu tenaga untuk AI, AI untuk tenaga serta peralihan tenaga untuk rakyat. 

Menurut Shamsul, teras pertama membincangkan keperluan sumber tenaga mampan bagi menyokong pertumbuhan pesat pusat data, pengkomputeran tepi (edge computing) dan infrastruktur digital yang menjadi tulang belakang pembangunan AI. 

“Teras kedua pula meneliti bagaimana teknologi AI dapat meningkatkan kecekapan operasi sistem tenaga melalui analisis data, ramalan permintaan elektrik serta pengesanan awal gangguan bekalan.

“Sementara itu, teras ketiga memberi fokus kepada aspek sosial peralihan tenaga, termasuk pembangunan kemahiran tenaga kerja, penciptaan peluang pekerjaan baharu dalam sektor hijau serta usaha memastikan akses kepada tenaga bersih yang mampu milik untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, sebagai utiliti nasional, syarikat tenaga negara menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan elektrik kekal stabil, selamat dan mampu milik sambil mengekalkan keseimbangan antara keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.

“Dalam usaha mempercepatkan agenda kelestarian, syarikat itu terus melabur dalam penjanaan tenaga bersih, memperluas portfolio tenaga boleh baharu serta mengurangkan intensiti karbon operasi. 

“Pada masa sama, usaha pemodenan grid nasional turut dipertingkatkan bagi menyokong integrasi tenaga hijau yang lebih besar.

“Prestasi operasi syarikat turut menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan kadar gangguan bekalan elektrik sistem sebanyak hanya 0.15 minit pada 2025, jauh lebih baik berbanding penanda aras global iaitu di bawah 1.5 minit,” katanya. 

Selain itu, pengiktirafan terhadap amalan kemampanan dan tadbir urus syarikat turut meningkat apabila penarafan MSCI ESG dinaik taraf kepada AA pada 2026, berbanding A pada tahun sebelumnya.

Persidangan ETCon26 dijangka menyaksikan beberapa perjanjian kerjasama strategik baharu dimeterai antara pemain industri, pelabur dan penyedia teknologi. 

Kerjasama tersebut dilihat penting dalam mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga bersih serta merealisasikan matlamat peralihan tenaga negara.

Beliau berkata, kejayaan peralihan tenaga memerlukan kerjasama erat antara pembuat dasar, sektor industri, pelabur dan komuniti inovasi bagi memastikan aspirasi kelestarian dapat diterjemahkan kepada tindakan dan impak ekonomi yang nyata.

Persidangan selama tiga hari itu menghimpunkan wakil kerajaan, industri, institusi kewangan, syarikat teknologi dan para akademi dari Malaysia serta pelbagai negara itu bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa dalam mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN