PETALING JAYA: Data kredit yang boleh dipercayai dan mudah diakses membantu mengurangkan jurang maklumat, memperbaiki penilaian risiko dan membolehkan pengagihan kredit yang lebih cekap kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dokumentasi yang lebih baik dan pelaporan yang lebih tersusun akan meningkatkan kelayakan kredit, memperkukuh daya maju perniagaan dan memudahkan akses kepada pembiayaan.
Katanya, secara praktikal, data yang lebih baik membolehkan penyedia pembiayaan menilai profil risiko dengan lebih tepat.
“Ini meningkatkan peluang PMKS yang berprestasi baik untuk mendapatkan pembiayaan pada syarat yang lebih kompetitif.
“Justeru, keterangkuman kewangan bukan sekadar memastikan akses kepada pembiayaan, tetapi juga memastikan akses tersebut mampan, berasaskan data dan selaras dengan amalan pengurusan risiko yang baik,” katanya dalam ucapan pada CTOS SME Biz Day 2026 di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, dasar kerajaan menyediakan hala tuju, tetapi pelaksanaannya bergantung kepada kerjasama seluruh ekosistem yang merangkumi institusi kewangan, penyedia infrastruktur kredit, syarikat teknologi dan rakan penasihat.
Ujarnya, komitmen kerajaan terhadap PMKS adalah bersifat struktur dan mampan dan bukan didorong oleh keperluan jangka pendek.
“Tumpuan kerajaan kekal kepada tiga bidang utama iaitu memperluaskan akses kepada pembiayaan melalui kemudahan dan mekanisme jaminan yang menyokong perniagaan yang berdaya maju.
“Selain itu, meningkatkan produktiviti melalui pendigitalan dan pembangunan keupayaan dan memperkukuh sistem fiskal dan kawal selia bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kemampanan ekonomi,” ujarnya.
Amir Hamzah berkata, kerajaan terus mengamalkan pendekatan yang berhemah dan pragmatik, mengimbangi sokongan untuk pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab fiskal bagi memastikan intervensi dasar kekal berkesan dan mampan.
“Sesi libat urus kekal sebagai keutamaan. Platform seperti CTOS SME Biz Day 2026 memastikan dasar kekal berasaskan realiti yang dihadapi perniagaan dan maklum balas diambil kira dalam pelaksanaan,” jelasnya.
CTOS SME Biz Day 2026 edisi Petaling Jaya menghimpunkan lebih 1,500 pengasas PMKS, pemilik perniagaan dan penggubal dasar bersama wakil agensi kerajaan, rakan ekosistem pembiayaan dan teknologi.
Acara ini merupakan yang pertama daripada tiga bandar yang turut melibatkan Pulau Pinang dan Johor Baharu serta menghimpunkan ekosistem dasar, pembiayaan dan teknologi yang menjadi tunjang kepada PMKS Malaysia di satu platform yang mudah diakses. – UTUSAN










