PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melantik Sr Ahmad Farrin Mokhtar sebagai Ketua Eksekutif baharu berkuat kuasa 8 Jun 2026.
Pelantikan tersebut adalah bagi menggantikan Zainora Zainal yang telah bersara wajib pada 15 Januari 2026.
Menurut kenyataan, surat pelantikan jawatan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, di pejabatnya di sini.
“Ahmad Farrin sebelum ini memegang jawatan Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Kontraktor & Personel Binaan dan telah berkhidmat selama 25 tahun bersama CIDB.
“Beliau juga pernah memegang jawatan Pengurus Besar Kanan Sektor Dasar & Korporat serta Pengarah Negeri Johor dan juga Pengarah Negeri Terengganu.
“Sepanjang perkhidmatan beliau di CIDB, Ahmad Farrin mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai skop tugasan.
“Antaranya pembangunan dasar industri, pengurusan korporat, penguatkuasaan, pembangunan bisnes, hubungan antarabangsa serta pembangunan kapasiti industri pembinaan negara,” katanya dalam kenyataan.
CIDB berkata, Ahmad Farrin turut memainkan peranan penting dalam pembangunan pelbagai pelan strategik CIDB.
“Ia termasuk Pelan Strategik CIDB 2021-2025 dan pelaksanaan program berkaitan Dasar Pembinaan Negara (DPN) 2030 di bawah Kementerian Kerja Raya,” katanya. – UTUSAN









