BDB Land bangunkan pusat komersial baharu di Jitra - Utusan Malaysia

BDB Land bangunkan pusat komersial baharu di Jitra

ILUSTRASI pusat komersial baharu, Darulaman Commercial District (DCD) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM41.5 juta yang akan dibina di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land), anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB), membangunkan pusat komersial baharu, Darulaman Commercial District (DCD) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM41.5 juta di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah.

Projek di atas tanah seluas 2.02 hektar ini merangkumi 45 unit bangunan kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta sebuah bangunan pejabat korporat baharu BDB Land, selain berperanan menjadi pusat perniagaan dan tumpuan gaya hidup yang melengkapkan komuniti sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata, projek tersebut terletak bersebelahan Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan berhampiran Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Tasik Darulaman Park serta Taman Tema Air Fantasia Aquapark, yang merupakan aset milikan BDB.

Katanya, ini memberikan kelebihan terhadap projek tersebut dari segi aksesibiliti serta potensi limpahan ekonomi.

“Lokasinya yang strategik ini akan mengukuhkan keterhubungan ekonomi kawasan dengan menghubungkan perumahan, komersial, rekreasi dan pelancongan dalam satu ekosistem yang saling melengkapi, sekali gus menyokong peranan Bandar Darulaman sebagai salah satu pusat pertumbuhan utama di wilayah utara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pembangunan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan dalam memperkukuhkan ekosistem pasaran hartanah di Bandar Darulaman seluas 890.3 hektar yang kini merangkumi lebih 5,000 unit kediaman dan komponen pembangunan bercampur.

Jelansya, inisiatif ini turut menyokong strategi jangka panjang BDB dalam menambah nilai keseluruhan perbandaran tersebut.

“DCD direka dengan ruang perniagaan yang lebih tersusun dan moden bagi menyokong keperluan semasa serta jangka panjang komuniti perniagaan, seterusnya merancakkan aktiviti ekonomi menerusi sektor peruncitan, perkhidmatan dan keusahawanan.

“Selaras dengan permintaan pasaran, kerja-kerja awal projek telah dimulakan melibatkan pembersihan tapak dan penyediaan tanah sebagai persediaan untuk fasa pembinaan seterusnya,” ujarnya.

Che Abdul Khalid berkata, komitmen utama BDB Land adalah untuk memastikan setiap pembangunan memberi impak jangka panjang kepada nilai hartanah serta kesejahteraan komuniti di Bandar Darulaman, sejajar dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menjadi teras amalan kumpulan.

“Setiap pembangunan bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal, tetapi turut menitikberatkan aspek sosial dan tadbir urus melalui perancangan bandar yang lebih berdaya huni serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Pendekatan ini menjadi asas kepada pembentukan persekitaran yang lebih terancang, seimbang dan berkualiti untuk generasi akan datang,” katanya.

Tambahnya, projek tersebut telah dibuka untuk tempahan dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi BDB Land di talian 049199080 atau 0134964288. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN