PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) memperkenalkan kaedah pembayaran Zakat al-Mustaghallat secara kolektif (Khultah) untuk penerimaan pengagihan pendapatan bersih selepas ditolak kadar zakat sebanyak 2.57 peratus.
Inisiatif yang berkuat kuasa mulai 25 Mei 2026 itu dikenakan hanya ke atas pendapatan yang diagihkan, dan bukannya ke atas jumlah pelaburan keseluruhan.
Bagi melaksanakan mekanisme baharu tersebut, semua dana harga tetap ASNB telah disusun semula kepada dua kelas unit iaitu Kelas A dan Kelas B.
Pemegang unit sedia ada secara automatik ditempatkan di bawah Kelas A, yang mengekalkan kaedah agihan pendapatan seperti biasa tanpa sebarang potongan zakat.
Sementara itu, Kelas B dibuka kepada pelabur Islam yang memilih untuk membolehkan ASNB mengurus dan membayar zakat bagi pihak mereka secara automatik.
Melalui pilihan ini, pelabur akan menerima agihan pendapatan selepas potongan zakat dibuat.
Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh kesejahteraan sosioekonomi pemegang unit Islam.
“ASNB menyediakan pilihan pembayaran zakat yang membolehkan pemegang unit menunaikan kewajipan mereka secara lebih mudah dan teratur selaras dengan ketetapan syariah,” katanya dalam kenyataan.
Rizal turut menghargai sokongan pihak berkuasa agama di peringkat kebangsaan dan negeri yang telah mempertimbangkan serta meluluskan penggunaan kaedah pengiraan zakat al-Mustaghallat secara Khultah, sekali gus menyokong pelaksanaan agihan zakat yang lebih sistematik.
Kadar zakat 2.57 peratus itu terpakai kepada semua dana harga tetap ASNB, termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), ASB 2, ASB 3 Didik, Amanah Saham Malaysia (ASM), ASM 2 Wawasan dan ASM 3, selaras dengan pendekatan kalendar Masihi dan piawaian perakaunan zakat antarabangsa.
Pelabur yang berminat menyertai Kelas B boleh membuat pilihan melalui aplikasi dan portal myASNB, kiosk ASNB serta cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara.
Namun, penyertaan ke Kelas B adalah kekal dan tidak boleh ditukar semula kepada Kelas A.
Di bawah mekanisme tersebut, zakat akan dibayar secara automatik oleh ASNB setiap kali pengagihan pendapatan dikreditkan selepas tamat tahun kewangan dana, tanpa menjejaskan nilai pokok pelaburan.
Dalam pada itu, ASNB berkata, pelaksanaan kaedah ini telah mengambil kira pandangan hukum yang diperoleh daripada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia serta mendapat kelulusan beberapa Jawatankuasa Fatwa Negeri termasuk Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Pulau Pinang dan Sabah.
Langkah itu dijangka menggalakkan lebih ramai pelabur Islam mengurus kewajipan zakat secara sistematik sambil mengekalkan pulangan pelaburan yang kompetitif, selain menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat untuk diagihkan kepada golongan asnaf melalui pusat zakat negeri. – UTUSAN










