KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) melancarkan Cabaran BizSmart Edisi Pemecut (Accelerator Edition) 2026 bagi mempercepatkan fasa pertumbuhan kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula yang berpotensi tinggi di negara ini.
Penganjuran musim kelapan bagi cabaran perintis industri ini sekali gus memperkukuh komitmen bank tersebut untuk terus menyokong perniagaan yang berprospek dalam mengemudi landskap ekonomi semasa yang berkembang dinamik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, penganjuran Cabaran BizSmart tahun ini berlangsung dalam iklim ekonomi yang tidak menentu, menjadikannya lebih relevan buat komuniti PKS yang menjadi enjin ekonomi negara.
“Melalui cabaran ini, kami menyediakan modal, pendedahan jenama dan media, peluang rangkaian, serta bimbingan strategik yang diperlukan untuk menukar ketidaktentuan menjadi peluang.
“Selaras komitmen kami untuk menjadi The Bank For Life, matlamat kami adalah untuk memperkasakan usahawan baharu agar dapat berkembang secara yakin dan mampan pada setiap peringkat perjalanan perniagaan mereka,” katanya ketika Majlis Pelancaran Cabaran BizSmart Edisi Pemecut 2026, di sini hari ini.
Program ini menawarkan ekosistem sokongan menyeluruh merangkumi hadiah wang tunai sehingga RM2 juta, pendedahan jenama dan latihan perniagaan.
Selain itu, para peserta turut berpeluang meraih pembiayaan pada kadar keutamaan sehingga RM20 juta daripada Alliance Bank bagi memacu perniagaan mereka ke hadapan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2013, cabaran ini telah menjadi teras kepada ikrar bank dalam memperkasakan PKS tempatan dengan mengagihkan lebih RM6.2 juta hadiah wang tunai serta liputan media yang meluas kepada lebih 185 perniagaan.
Antara alumni terkenal yang telah berjaya dilahirkan melalui program ini termasuk jenama Signature Market, BloomThis, Christy Ng, Salad Atelier, BioLoop, Gula Cakery dan Sin Boon Kee.
Bagi edisi 2026, program ini mengekalkan kerjasama dengan rakan strategik sedia ada iaitu 1337 Ventures dan Cradle, di samping menerima penyertaan rakan baharu iaitu Sunway iLabs dan Seni Jaya.
Sunway iLabs akan menyertai panel hakim bagi pusingan separuh akhir dan akhir, manakala 1337 Ventures bakal menerajui program pemecut berstruktur bagi memastikan perniagaan terlibat bersedia menarik minat pelabur.
Kerjasama dengan Cradle pula akan memperluas rangkaian sokongan untuk syarikat pemula melalui bimbingan mentor industri, manakala Seni Jaya bertindak menaja publisiti luar rumah bagi meningkatkan keterlihatan jenama peserta di pasaran.
Mengulas mengenai impak ketidaktentuan geopolitik global masa kini, Kellee berkata, situasi mencabar seperti ini sebenarnya merupakan tempoh terbaik untuk usahawan memperkasakan operasi perniagaan masing-masing.
Menurut beliau, platform seperti Cabaran BizSmart bertindak sebagai medium penting untuk syarikat pemula dan PKS mengasah kemahiran serta kecekapan mereka walaupun berada di bawah tekanan ekonomi.
“Meskipun landskap semasa agak mencabar, usahawan tidak seharusnya sekadar menunggu sehingga keadaan kembali pulih untuk bertindak kerana pasaran luar sana sentiasa menawarkan peluang modal yang luas.
“Menerusi program bimbingan, mentor dan pelan pemecut yang disediakan, kami mahu mendedahkan mereka kepada konsep ‘eskalator pembiayaan’ (funding escalator) serta menghubungkan mereka dengan rakan ekuiti yang tepat bagi memandu pengembangan perniagaan jangka panjang, termasuk menembusi pasaran baharu di luar Lembah Klang,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Alliance Bank juga bakal menganjurkan Persidangan Perniagaan BizSmart edisi ketiga pada 6 Oktober 2026 bertemakan “From Local Champions to National Icons”.
Cabaran BizSmart Edisi Pemecut 2026 ini dibuka kepada semua PKS dan syarikat pemula berdaftar di Malaysia yang telah beroperasi antara satu hingga 10 tahun, dengan perolehan jualan tahunan sekitar RM500,000 hingga RM40 juta.
Permohonan penyertaan bagi perniagaan yang berminat kini dibuka bermula hari ini hingga 2 Ogos 2026. – UTUSAN










