PETALING JAYA: Zetrix AI dan Shenzhen Data Exchange Co. Ltd. (SZDEX) bekerjasama membangunkan platform perdagangan data rentas sempadan yang bertujuan menjana nilai aset data secara selamat dan terkawal antara ASEAN dan China.
Inisiatif tersebut dijangka membuka laluan baharu kepada pembangunan ekonomi digital serantau dengan membolehkan aliran produk data yang lebih tersusun, selamat dan mematuhi piawaian kawal selia antara kedua-dua rantau.
ASEAN, yang mempunyai hampir 700 juta penduduk serta kedudukan sebagai ekonomi kelima terbesar dunia, dilihat memiliki potensi besar dalam ekonomi berasaskan data. Namun, sebahagian besar aset data di rantau ini masih belum dimanfaatkan secara optimum.
Sebagai perbandingan, nilai transaksi data di China dianggarkan mencecah RMB50 bilion pada tahun 2025, didorong terutamanya oleh syarikat kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan data bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pembangunan teknologi.
Zetrix AI berkata, dalam satu memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan infrastruktur perdagangan data serantau, pengukuhan keselamatan data serta pembangunan rangka kerja kawal selia dan teknologi yang menyokong perdagangan data rentas sempadan.
Ujarnya, antara tiga fokus utama kerjasama kepada tiga bidang utama iaitu pembangunan infrastruktur perdagangan data ASEAN iaitu Zetrix AI dan SZDEX akan membangunkan platform peredaran data yang standard dan mematuhi peraturan serantau.
Ia termasuk pembangunan sistem perdagangan data, mekanisme kawalan kualiti serta perlindungan keselamatan data bagi memastikan integrasi dan penggunaan sumber data yang lebih cekap di ASEAN.
“Kedua-dua pihak turut meneroka kemungkinan penubuhan bursa data serantau ASEAN sebagai hab perdagangan data masa depan.
“Selain itu, pengukuhan aliran data dua hala ASEAN-China iaitu akan menyepadukan sumber data berkualiti tinggi daripada sektor pelancongan, perdagangan, kewangan, kerajaan, pembuatan dan pertanian di ASEAN dan China.
“Melalui sistem saling hubung yang bakal dibangunkan, proses seperti semakan pematuhan data, pendaftaran hak milik dan penyelesaian transaksi akan diselaraskan bagi mempercepatkan peredaran produk data rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, pembentukan ekosistem data rentas sempadan iaitu kedua-dua organisasi turut merancang menganjurkan seminar, forum dan program kerjasama industri bagi memperkukuh pembangunan ekosistem data ASEAN-China.
“Mereka akan menjalankan penyelidikan berkaitan model operasi perdagangan data rentas sempadan, termasuk aspek keselamatan, pematuhan dan pembangunan piawaian industri,” katanya.
Menurut kedua-dua pihak, keselamatan data dan perlindungan privasi kekal menjadi fokus utama dalam pelaksanaan inisiatif ini.
Ujarnya, pembangunan ekonomi data perlu dilaksanakan secara bertanggung jawab tanpa mengabaikan aspek pematuhan dan keselamatan pengguna.
Kerjasama itu turut mengukuhkan kedudukan Zetrix AI sebagai pemain utama dalam pembangunan teknologi digital dan perdagangan data serantau, khususnya selepas penyertaannya sebagai ahli pengasas Pertubuhan Data Dunia (World Data Organization).
Sebelum ini, syarikat itu terlibat dalam pelbagai inisiatif teknologi ASEAN-China termasuk pembangunan makmal AI ASEAN-China, platform blok rantai Zetrix serta sistem pemprosesan kastam digital ZTrade. – UTUSAN









