PETALING JAYA: Tropicana Corporation Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM313.7 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, meningkat 20.5 peratus berbanding RM260.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, peningkatan prestasi disumbangkan terutamanya oleh bil kemajuan yang lebih tinggi daripada projek-projek utama yang menghampiri fasa siap di Lembah Klang dan wilayah Utara.
Bagaimanapun, Tropicana merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM12.8 juta berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) RM5.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
“Kerugian itu sebahagian besarnya berpunca daripada kerugian belum direalisasi sebanyak RM16.7 juta melibatkan pegangan saham tersenarai.
“Tanpa mengambil kira kerugian belum direalisasi tersebut, kumpulan berkenaan sebenarnya akan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.9 juta, sekali gus menunjukkan hanya penurunan kecil berbanding tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Tropicana berkata, kos operasi terus menunjukkan penambahbaikan sejajar dengan inisiatif pengoptimuman kewangan yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan kos.
Dari segi komitmen kewangan, syarikat itu kekal berada di landasan kukuh selepas menebus RM133.2 juta di bawah Tranche 5 Program Sukuk Wakalah IMTN 2020 bernilai RM1.5 bilion pada April 2026.
Sebelum itu, pada Mac 2026, Tropicana turut melengkapkan penebusan penuh sukuk kekal Tranche 1 bernilai RM89.43 juta.
Pada Oktober 2025, kumpulan itu juga telah memenuhi obligasi pembayaran RM139 juta bagi Tranche 4 Program Sukuk Wakalah IMTN 2020.
Susulan itu, Tropicana berjaya menerbitkan RM300 juta di bawah Program Sukuk Wakalah IMTN 2024 pada November 2025, meningkat daripada sasaran asal RM200 juta berikutan permintaan pelabur yang menggalakkan.
Tropicana turut mencatatkan jualan belum dibil sebanyak RM1.7 bilion, yang dijangka memberi keterlihatan pendapatan kukuh kepada kumpulan.
Momentum itu disokong oleh pembangunan semasa dan akan datang di seluruh Malaysia dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion.
Melangkah ke hadapan, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan jualan, monetisasi strategik bank tanah dan hartanah pelaburan, selain meneruskan langkah pengoptimuman kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, MARC Ratings telah menaik taraf prospek Tropicana kepada positif daripada stabil, sambil mengekalkan penarafan A syarikat itu.
Pengurusan Tropicana berkata peningkatan hasil serta siri penebusan sukuk yang berjaya mencerminkan kemajuan berterusan syarikat dalam memperkukuh organisasi dan memenuhi komitmen kepada pelabur.
Selain pembangunan hartanah tradisional, kumpulan itu turut melihat peluang pertumbuhan dalam sektor perindustrian dan logistik, tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan pusat data.-UTUSAN










