PERDANA Centerpoint 3, pembangunan komersial strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan di Ipoh dan Chemor, Perak iaitu kawasan yang terus mencatatkan permintaan yang kukuh daripada pembeli dan pelabur.
Pembangunan yang dibangunkan oleh M K Land Holdings Berhad (M K Land) di kawasan perbandarannya itu terdiri daripada deretan rumah kedai dua dan tiga tingkat.
Setiap unit menawarkan keluasan 3,336 kaki persegi dan direka dengan susun atur fleksibel bagi memenuhi pelbagai keperluan perniagaan termasuk peruncitan, pejabat profesional, perkhidmatan dan perusahaan makanan.
Kedudukannya yang strategik berhadapan laluan utama Ipoh, Chemor, Kuala Kangsar serta kawasan kediaman matang seperti Meru Perdana 2 menjadikan pembangunan ini berpotensi tinggi sebagai hab komersial baharu di koridor utara Ipoh.
Pembangunan komersial ini turut disokong oleh pertumbuhan kawasan kediaman sekitar termasuk Eugenia, Lily dan projek-projek perumahan sedia ada M K Land di Ipoh dan Chemor.
Ini sekali gus dijangka merangsang aktiviti perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Pemaju hartanah itu berkata, pelancaran Eugenia, Lily dan Perdana Centerpoint 3 mencerminkan komitmen jangka panjang M K Land dalam membangunkan komuniti yang bukan sahaja mampu milik, tetapi juga berkualiti, mapan dan berdaya huni.
Jelasnya, pendekatan ini selari dengan empat keutamaan syarikat yang merangkumi aspek ekonomi, alam sekitar, pendidikan dan sosial.
“Melalui aspek ekonomi, projek-projek ini berpotensi merancakkan pertumbuhan setempat melalui peluang pekerjaan, peningkatan nilai hartanah dan pembukaan premis perniagaan baharu.
“Dari sudut alam sekitar, M K Land memberi perhatian kepada elemen reka bentuk yang lebih lestari termasuk pencahayaan semula jadi, pengudaraan yang baik dan landskap hijau.
“Sementara itu, berhampiran projek ini terdapat pelbagai institusi pendidikan yang menyokong pembangunan komuniti seimbang,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Operasi M K Land Wilayah Utara, Nazri Tumin berkata, setiap projek M K Land di koridor utara Ipoh dibangunkan dengan prinsip pembangunan mampan.
“Eugenia, Lily dan Perdana Centerpoint 3 direka bukan sahaja untuk memenuhi keperluan kediaman dan komersial hari ini, tetapi juga untuk menyokong pembangunan perbandaran yang menyeluruh, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi kami dalam membangunkan komuniti yang mampan dan lestari.
“Pembangunan ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang syarikat untuk memperkasakan wilayah utara, terutamanya Ipoh sebagai hab kediaman dan komersial yang lebih mapan,” ujarnya.
Beliau berkata, syarikat percaya pembangunan lestari harus memberi manfaat bukan sahaja kepada pemilik rumah, tetapi kepada seluruh komuniti.
“Eugenia, Lily, Perdana Centerpoint 3, Carissa, dan Miltonia membuktikan usaha berterusan M K Land untuk mencipta persekitaran hidup yang selesa, mampan dan bernilai tinggi untuk generasi masa depan,” jelasnya.
Tambahnya, sebagai pemaju yang telah lebih dua dekad bertapak di negeri Perak, M K Land melihat kawasan Ipoh-Chemor sebagai zon pertumbuhan baharu yang berpotensi tinggi untuk pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan.
“Pengenalan Eugenia, Lily dan Perdana Centerpoint 3 merupakan kesinambungan strategi syarikat dalam menyediakan pilihan kediaman berkualiti serta pembangunan komersial yang mampu menyokong pertumbuhan komuniti dan peluang pelaburan jangka panjang.
“Menerusi gabungan kediaman mampu milik dan pembangunan komersial berskala sederhana, M K Land berhasrat untuk terus menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam menjadikan Perak sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan hartanah dan pertumbuhan komuniti,” katanya. – UTUSAN










