PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih RM219.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, meningkat 2.5 peratus berbanding RM214.0 juta pada tahun sebelumnya.
Matrix Concepts berkata, prestasi tersebut disokong oleh jualan hartanah rekod sebanyak RM1.51 bilion, menjadikan tahun kewangan 2026 sebagai antara tahun terbaik kumpulan dari segi pertumbuhan jualan dan pendapatan.
“Bagi suku keempat tahun kewangan 2026, kumpulan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM38.7 juta, berbanding RM42.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
“Penurunan kecil itu dipengaruhi oleh perubahan campuran produk, pengkelasan semula kos operasi serta kadar cukai efektif yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Pengerusi kumpulan, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin, prestasi kewangan tersebut mencerminkan daya tahan model perniagaan syarikat serta keberkesanan strategi kepelbagaian yang dilaksanakan.
“Tahun kewangan 2026 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan kami, disokong oleh kekuatan pembangunan teras dan pemacu pendapatan baharu,” katanya.
Syarikat itu turut mencatat hasil tahunan tertinggi sebanyak RM1.36 bilion, meningkat 18.2 peratus berbanding RM1.15 bilion pada tahun kewangan 2025.
“Pertumbuhan ini disokong oleh kemajuan pembinaan, sumbangan projek baharu serta peningkatan segmen industri.
“Pembangunan Bandar Seri Sendayan (Sendayan Developments) kekal sebagai penyumbang utama hasil dengan RM875.9 juta, manakala projek Levia Residence di Lembah Klang mencatat lonjakan hasil 272.3 peratus kepada RM153.2 juta,” katanya.
Dalam pada itu, pembangunan Malaysia Vision Valley City (MVV City) terus menjadi pemacu pertumbuhan baharu dengan sumbangan RM362.6 juta dalam jualan tanah perindustrian, selain mula menyumbang hasil pada suku keempat tahun kewangan 2026.
“Kumpulan turut mengekalkan kedudukan kewangan stabil dengan jualan belum dibil sebanyak RM1.51 bilion, yang menyediakan keterlihatan pendapatan bagi tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.
“Sebagai menghargai pemegang saham, kumpulan mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 1.25 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen tahun kewangan 2026 kepada 6.10 sen sesaham atau RM114.5 juta,” katanya.
Mohamad Haslah berkata, pihaknya kekal optimistik terhadap prospek tahun kewangan 2027, disokong oleh permintaan hartanah yang stabil, strategi pembangunan pelbagai serta pengembangan ke kawasan pertumbuhan baharu di Malaysia. – UTUSAN










