Kompleks IVP perkukuh Malaysia sebagai hab aeroangkasa

Kompleks IVP perkukuh Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau 

AMIRUDIN Shari (dua kanan) bersama Abdul Offar (dua dari kiri) pada Majlis Pembukaan Rasmi Fasiliti Aeroangkasa Impeccable Vintage Properties (IVP) di Kompleks IVP di sini, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Impeccable Vintage Properties Sdn. Bhd. (IVP), anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau, menerusi pembukaan kemudahan aeroangkasa baharunya di Kompleks IVP, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (SZB). 

Ketua Pegawai Eksekutif IVP, Abdul Offar Musa berkata, fasiliti aeroangkasa yang bermula sejak 2021 kini telah mencapai tahap hampir siap sebanyak 90 peratus dengan baki 10 peratus dijangka disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“Pelancaran fasiliti ini membuka peluang luas kepada pemain industri untuk menyertai dan memanfaatkan ruang yang masih tersedia. Ketika ini, sebahagian hangar sedia ada telah pun mempunyai penyewa, khususnya dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO). 

“Namun begitu, masih terdapat ruang untuk disewakan serta dibangunkan bagi projek-projek baharu melalui kerjasama strategik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks IVP di sini semalam.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. 

Jelas beliau, selain penyertaan pemain tempatan, projek ini juga telah menarik minat syarikat MRO antarabangsa. 

“Peluang masih terbuka luas kepada kedua-dua pemain tempatan dan global untuk bekerjasama, memandangkan keluasan tapak yang besar serta potensi pembangunan yang masih belum diteroka sepenuhnya.

“Dengan keluasan keseluruhan hampir 40.47 hektar, kira-kira 70 peratus kawasan telah dimanfaatkan setakat ini, manakala baki 30 peratus masih tersedia untuk pembangunan masa hadapan.

“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau, sekali gus bersaing dengan pemain industri utama di Asia,” katanya. 

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pembangunan itu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat, malah merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, meningkatkan limpahan manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana. 

“Sebanyak 1,543 peluang pekerjaan, termasuk 892 jawatan berkemahiran tinggi melibatkan jurutera dan juruteknik dijangka bakal diwujudkan hasil kerjasama dengan rakan-rakan strategik IVP. 

“Ini bukan sahaja membuka ruang kerjaya yang lebih berkualiti kepada rakyat, malah memperkukuh kedudukan tenaga kerja tempatan dalam sektor aeroangkasa yang semakin berkembang,” katanya. 

Kompleks IVP menyediakan ekosistem penerbangan komprehensif melalui hangar pesawat khusus yang dikendalikan oleh pemain industri seperti Malaysia Airlines Berhad Engineering Services dan Base Maintenance Malaysia. 

Ia turut menempatkan pusat penyelenggaraan enjin oleh GE Aerospace melalui GE Aerospace Engine Services Malaysia (GEESM), yang berfungsi sebagai pusat kecemerlangan untuk enjin LEAP.

Kompleks itu juga dilengkapi dengan ruang enjin darat (EGR) khusus di  Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang bagi ujian enjin atas sayap termasuk keupayaan menampung pesawat berbadan lebar, satu kemudahan unik di lapangan terbang tersebut.

Selain itu, pengambilan juruteknik yang terdiri daripada graduan baharu dan tenaga kerja berpengalaman serta keperluan pensijilan melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) Approved Training Organizations, akan memastikan standard kompetensi dan keselamatan industri sentiasa berada pada tahap tertinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×