Kekangan kapasiti grid lambatkan ekosistem EV?

Kekangan kapasiti grid lambatkan ekosistem EV?

CARLO Cecchi (dari kiri) bersama Duta Besar Finland ke Malaysia; Anne Vasara, Ketua Pengecasan Awam Kempower, Oscar Sanchez dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Asia Tenggara Kempower, Stephanie Lai pada taklimat media Kempower di Kedutaan Finland baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PEMBANGUNAN ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia masih berdepan dilema antara penyediaan infrastruktur dan peningkatan penggunaan, dengan kedua-duanya saling bergantung antara satu sama lain. 

Walaupun permintaan terhadap EV menunjukkan potensi pertumbuhan yang memberangsangkan, kekangan seperti kapasiti grid elektrik, ketersediaan tanah dan kemudahan pengecasan terutama di lebuh raya terus menjadi cabaran utama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam masa sama, sokongan dasar dan insentif turut memainkan peranan penting dalam merangsang penggunaan EV, namun ia perlu diseimbangkan dengan kesiapsiagaan infrastruktur bagi memastikan peralihan ini berjalan lancar. 

Pengarah Pasaran Baharu Kempower, CARLO CECCHI berkongsi dengan Wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI pandangan beliau mengenai prospek pasaran, cabaran utama serta kedudukan Malaysia berbanding negara lain di rantau ini.

 

UTUSAN: Bagaimanakah Kempower melihat prospek pertumbuhan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia? Adakah kadar pertumbuhan masih perlahan dan apa yang boleh dilakukan untuk mempercepatkan pertumbuhan memandangkan sehingga akhir tahun lalu hanya terdapat 5,360 pengecas awam, jauh di bawah sasaran 10,000?

CARLO: Perkara ini seperti situasi ayam dan telur iaitu yang mana satu datang terlebih dahulu. Sama ada kereta EV atau infrastruktur? Saya melihat terdapat sedikit keraguan dalam pelaksanaan infrastruktur. Jadi, semakin cepat infrastruktur dilaksanakan dari segi sambungan grid, ketersediaan tanah dan keupayaan grid, maka semakin cepat pelaksanaan dan penggunaan pengecasan EV akan berkembang.

Jika anda fikirkan, bergerak dalam Kuala Lumpur sangat mudah dengan EV. Tetapi jika anda mahu pergi dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, di mana anda mahu mengecas? Masalahnya ialah kekurangan infrastruktur. Di Kuala Lumpur, kita ada banyak lokasi. Tetapi di lebuh raya, itu masalahnya.

Pelaksanaan berskala besar untuk perjalanan jarak jauh menjadi isu kerana tiada infrastruktur dan tiada ruang tersedia. Saya tidak tahu peraturan untuk peruntukan tanah, tetapi contohnya di Australia, isu utamanya ialah bagaimana tanah diperuntukkan dan adakah tanah tersedia, berapa kosnya, siapa pemiliknya dan sebagainya.

Saya rasa anda (Malaysia) semua sudah bersedia. Kami juga bersedia, tetapi kami perlukan pihak yang memudah cara kehendak anda dan kami menyediakan elektrik, ruang, sambungan dan sebagainya.

 

Adakah anda melihat kemajuan agak perlahan disebabkan oleh grid?

Berdasarkan pengalaman saya, terutamanya apabila kami berbincang dengan pelanggan dan rakan kongsi, mereka sering menyebut tentang grid, ruang, tanah, substation dan sebagainya. 

Jadi, saya anggap kekangan paling utama ialah sambungan grid atau ketersediaan elektrik.

 

Adakah anda mempunyai usaha untuk mendorong peningkatkan kapasiti grid di Malaysia atau bekerjasama dengan kerajaan?

Biasanya bukan kami, tetapi pelanggan kami seperti pengendali titik cas (CPO). Mereka yang akan meminta lebih elektrik bila boleh dapat substation baharu atau transformer baharu.

Kami bersifat neutral. Kami akan bertanya berapa kuasa tersedia, berapa diperlukan dan seberapa pantas ia perlu dihantar. Berdasarkan itu, kami menyokong mereka dengan cadangan pelaksanaan terbaik.

 

Bagaimana anda manakah kedudukan Malaysia dalam strategi serantau Kempower berbanding pasaran Asia Tenggara yang lain?

Secara jujur, kami melihat Malaysia mempunyai potensi yang besar. Jika dilihat dari jumlah EV, dan juga dari sudut kerajaan, ia memberikan gambaran positif kerana kerajaan sangat berminat untuk mencapai sasaran sifar bersih.

Jadi, ini bukan sekadar inisiatif CPO, tetapi juga didorong secara politik. Saya fikir Thailand dan Malaysia kedua-duanya sangat berminat dalam hal ini.

Dengan kehadiran pemain global lain, bagaimana Kempower membezakan syarikat ini dalam pasaran yang semakin kompetitif?

Kempower memberi fokus kepada penyelesaian dan perkhidmatan. Kami menyokong pelanggan kami sama ada CPO, pengendali bas atau pelabuhan dengan produk berasaskan data dan penyelesaian menyeluruh.

Ia bukan sekadar menjual pengecas dengan manual dan “selamat berjaya”. Kami menawarkan penyelesaian 360 darjah. Kami juga menyediakan konsultansi berkaitan grid dan pelaksanaan. Contohnya, kenapa mahu 400 kilowatt jika grid tidak menyokongnya.

Ia melibatkan keseluruhan proses. Kami menawarkan perkhidmatan, konsultansi kewangan jika perlu serta sokongan selepas jualan.

 

Apakah pegangan pasaran semasa Kempower di Malaysia ketika ini?

Kami mempunyai sekitar 30 peratus pegangan pasaran untuk titik pengecasan arus terus (DC).

Jika dilihat, kami memberi tumpuan kepada pemasangan berkualiti tinggi seperti di lebuh raya serta poin pengecas pusat membeli-belah seperti di Johor, Kuala Lumpur dan sebagainya.

Kami tidak hanya menjual pengecas, seperti yang saya jelaskan tadi.

 

Dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat, adakah ia memberi kesan kepada rantaian bekalan dan kos tenaga untuk pelaksanaan projek?

Tidak. Rantaian bekalan kami berada di Eropah. Satu-satunya kesan ialah tempoh penghantaran dari Eropah ke rantau ini menjadi lebih lama. Tetapi tiada kesan terhadap pengeluaran. Kami mengurus stok di Australia untuk memenuhi permintaan.

Secara keseluruhan, kami tidak terjejas.

 

Dalam keadaan ketegangan geopolitik, adakah peralihan kepada mobiliti elektrik menjadi lebih mendesak?

Ya. Baru-baru ini ada laporan di Channel News 9 Australia yang menunjukkan stesen minyak ditutup. Jika dilihat data April, minat terhadap EV meningkat berbanding tahun lalu kerana orang semakin sedar.

Kos bahan api juga semakin meningkat. Saya tidak pasti di Malaysia, tetapi di Eropah ia sangat tinggi. Semua orang mempunyai kebimbangan yang sama. Jadi, semua ini menimbulkan ketidakpastian tentang masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini