Kek lukisan tangan daya tarikan Tintaja

Kek lukisan tangan daya tarikan Tintaja

RAJA Nor Azizah Raja Musa menunjukkan kek kalendar yang dihasilkannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUNIKAN lukisan tangan di atas kek menjadi identiti utama jenama bakeri home-based, Tintaja, sehingga tempahannya kini diterima bukan sahaja dari sekitar Pulau Pinang malah turut meliputi Kedah dan utara Perak.

Diusahakan oleh Raja Nor Azizah Raja Musa, 39, Tintaja yang beroperasi di Simpang Ampat, Pulau Pinang semakin dikenali dalam kalangan pelanggan yang mahukan kek dengan sentuhan lebih personal dan eksklusif, khususnya bagi sambutan hari lahir, majlis istimewa dan hadiah buat insan tersayang.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, setiap pembuat kek mempunyai identiti dan sentuhan tersendiri yang membezakan produk masing-masing.

“Kami tidak terlalu fokus untuk menghasilkan produk yang berbeza dengan jenama lain. Namun kami percaya setiap pembuat kek ada sentuhan tersendiri dari segi rasa, rupa dan layanan kepada pelanggan. 

“Cuma, kami ada sedikit kelebihan dari segi lukisan di atas kek, yang agak kurang ditawarkan oleh pesaing, menjadikan setiap kek lebih unik dan personal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Rekabentuk Dalaman dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, antara produk yang ditawarkan Tintaja adalah kek batik, kek lobak merah, brownies, kek mentega, burnt cheesecake, tapak kuda, puding dan cookies, dengan  kek Choc Heaven menjadi produk utama yang paling mendapat sambutan pelanggan.

Raja Nor Azizah berkata, minat dalam bidang pembuatan kek dan pastri mendorongnya memulakan perniagaan tersebut pada tahun 2022 ketika masih bekerja sepenuh masa sebagai pereka grafik.

“Pada peringkat awal, perniagaan itu dijalankan secara kecil-kecilan dari rumah dan hanya dilakukan pada hujung minggu sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Ketika mula berniaga, semuanya saya uruskan sendiri. Jualan pula lebih fokus kepada vendor sahaja tanpa jualan secara langsung kepada pelanggan.

“Saya bermula dengan modal sekitar RM100 menggunakan oven kecil dan hanya dua loyang,” jelasnya.

Walaupun permintaan semakin meningkat, Raja Nor Azizah yang mempunyai seorang pekerja selain dibantu oleh suaminya mengakui cabaran utama perniagaan home-based ialah ruang kerja dan peralatan yang terhad selain kekurangan tenaga kerja.

Katanya, faktor itu menyebabkan mereka perlu mengehadkan jumlah tempahan harian bagi memastikan setiap kek dihasilkan dengan teliti dan berkualiti.

“Kami hadkan sekitar 10 biji kek sehari kerana kebanyakan tempahan memerlukan lukisan.

“Satu lukisan biasanya mengambil masa sekitar satu jam, manakala rekaan yang lebih rumit boleh mengambil masa sehingga tiga atau empat jam untuk disiapkan,” katanya.

Bagi urusan penghantaran, Tintaja menggunakan perkhidmatan Lalamove meliputi sekitar Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak selain pelanggan juga boleh datang sendiri untuk mengambil sendiri tempahan mereka.

Meskipun permintaan semakin bertambah, wanita yang berasal dari Perak itu belum merancang untuk membuka premis komersial dalam masa terdekat, sebaliknya merancang untuk membangunkan sebuah mini studio kek yang terpisah daripada rumah bagi menyediakan ruang kerja lebih selesa dan sistematik.

Dalam pada itu, Raja Nor Azizah turut berkongsi nasihat kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan bakeri agar bermula mengikut kemampuan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pinjaman.

“Paling penting, kenal pasti minat kerana perkerjaan tersebut akan dibuat dengan lebih ikhlas dan berkualiti.

“Selain itu, buatlah content (kandungan) yang jujur dan memberi inspirasi kepada orang lain. Bila content kita memberi manfaat, pelanggan juga akan lebih percaya kepada kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN