IKEA Malaysia komited tawar produk, makanan harga mampu milik

IKEA Malaysia komited tawar produk, makanan pada harga mampu milik

MALCOLM Pruys (dua dari kiri) pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IKEA Malaysia komited menawarkan produk dan makanan pada harga mampu milik walaupun berdepan peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, karipap IKEA hanya meningkat 40 sen dalam tempoh tiga dekad, daripada RM1 ketika mula diperkenalkan kepada RM1.40. 

Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen IKEA untuk memastikan rakyat Malaysia terus menikmati produk dan makanan berkualiti pada harga berpatutan walaupun kos bahan mentah, minyak serta faktor geopolitik seperti konflik di Asia Barat memberi tekanan kepada industri makanan.

“Harga bahan asas meningkat, tetapi kami memilih untuk tidak menaikkan harga karipap kerana ia menjadi simbol komitmen IKEA terhadap kemampuan harga dan kualiti,” katanya pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) baru-baru ini. 

Selain itu, menurutnya, IKEA telah menurunkan harga sehingga 2,000 produk dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dan syarikat bercadang untuk meneruskan strategi penurunan harga tahun ini.

Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan matlamat IKEA untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki produk keluaran syarikat itu.

“Selain mengekalkan harga makanan, IKEA turut menekankan jaminan produk jangka panjang termasuk jaminan 25 tahun untuk dapur serta 10 tahun bagi sofa dan tilam,” katanya. 

Dalam majlis sama, IKEA Malaysia turut menerima pengiktirafan daripada MBOR sebagai penjual karipap terbanyak dalam tempoh setahun.

IKEA menerima pengiktirafan bagi kategori jualan karipap  terbanyak dalam setahun, selepas mencatat jualan luar biasa sebanyak 8.6 juta karipap di seluruh negara.

Malcolm berkata, budaya makanan memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan kejayaan karipap IKEA menunjukkan jenama itu semakin dekat di hati pengguna.

IKEA Malaysia kini mengendalikan dua restoran utama di Cheras dan Damansara. 

Malcolm berkata, restoran IKEA Cheras merupakan restoran IKEA paling sibuk di dunia manakala cawangan Damansara berada di kedudukan keempat global dari segi kunjungan pelanggan.

Pada majlis itu, IKEA Malaysia itu turut merakamkan penghargaan kepada pasukan makanan dan operasi restoran yang mengendalikan ribuan pelanggan terutama pada hujung minggu bagi memastikan pengalaman pelanggan terus berkualiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×