PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan beberapa penambahbaikan termasuk i-Legasi yang membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan KWSP kepada akaun KWSP ahli keluarga terdekat setelah mencapai umur pengeluaran penuh.
Dana persaraan berkata, jumlah pemindahan adalah selaras dengan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) 1, dengan hanya baki simpanan melebihi tahap Simpanan Mencukupi yang layak untuk dipindahkan.
“Pemindahan ini dibuat daripada simpanan yang boleh dikeluarkan dan akan dikreditkan ke dalam akaun persaraan penerima, yang bertujuan untuk simpanan jangka panjang.
“Pemindahan dibuat daripada Akaun 55 pemberi atau Akaun Emas bagi ahli berumur 60 tahun ke atas ke Akaun Persaraan penerima atau Akaun Emas bagi penerima berumur 55
hingga 59 tahun bagi memastikan simpanan terus terpelihara untuk persaraan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, KWSP turut memperkenalkan penjenamaan semula kaedah bayaran bulanan bagi Pengeluaran Umur 55/60 Tahun sebagai i-Emas dan pelancaran Kalkulator Matlamat Persaraan bagi memperkukuh kesejahteraan persaraan ahli.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, seiring dengan peningkatan jangka hayat, perancangan persaraan harus melangkaui fasa pengumpulan simpanan dan memberi tumpuan kepada kecukupan dan kemampanan.
“Kami terus memperluas sokongan kepada ahli bukan sahaja untuk menyimpan, tetapi juga untuk membuat keputusan yang lebih baik bagi memastikan simpanan mereka berkekalan
sepanjang hayat serta meninggalkan legasi buat insan tersayang,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, kemudahan kaedah bayaran bulanan melalui Pengeluaran Umur 55/60 Tahun sedia ada kini dijenamakan semula sebagai i-Emas, bagi menekankan kepentingan pengurusan simpanan persaraan sebagai sumber pendapatan yang mampan.
Katanya, ahli kini boleh memilih kaedah bayaran bulanan secara automatik melalui i-Emas, berbanding dengan pengeluaran simpanan secara penuh apabila mencapai usia 55/60 tahun, sekali gus membolehkan baki simpanan mereka terus menerima dividen tahunan
“Lebih 21,000 ahli telah memilih pengeluaran bulanan apabila mencapai umur 55/60 tahun, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap keperluan pendapatan bulanan yang berstruktur selepas persaraan.
“i-Emas menyediakan fleksibiliti untuk mengurus keperluan harian, di samping melindungi ahli daripada risiko kewangan seperti penipuan dan pengurangan simpanan secara mendadak serta memastikan aliran pendapatan yang stabil sepanjang tempoh persaraan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kalkulator Matlamat Persaraan pula adalah sebuah alat digital baharu dalam aplikasi KWSP i-Akaun yang direka untuk membantu ahli merancang persaraan dengan lebih berkesan.
Jelasnya, kalkulator ini membantu ahli menganggarkan keperluan simpanan masa hadapan berdasarkan jangkaan gaya hidup dan unjuran perbelanjaan.
“Berdasarkan maklumat ini, ahli boleh merancang lebih awal, memanfaatkan produk dan perkhidmatan KWSP untuk memenuhi keperluan persaraan serta memperkasa perancangan kewangan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif-inisiatif ini mencerminkan evolusi berterusan KWSP ke arah sistem persaraan yang lebih holistik sejajar dengan matlamat KWSP untuk membantu ahli bersara dengan penuh keyakinan dan bermaruah. – UTUSAN










