Hong Leong Capital catat untung bersih RM46.8 juta - Utusan Malaysia

Hong Leong Capital catat untung bersih RM46.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Hong Leong Capital Berhad (HLCB) melonjak 15 peratus tahun ke tahun kepada RM46.8 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026.

Prestasi memberangsangkan itu didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada bahagian Pasaran & Perbendaharaan (T&M), di samping pulangan pelaburan ekuiti yang lebih tinggi.

Pengerusi HLCB, Tan Kong Khoon berkata, pertumbuhan dua angka tersebut dicapai di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar berikutan ketegangan perdagangan, risiko geopolitik dan kejutan bekalan tenaga global.

“Langkah berdisiplin kami dalam menambah baik dagangan bon dan pendapatan faedah bersih, bersama-sama pulangan pelaburan ekuiti yang kuat, berjaya mengimbangi sumbangan yang lebih perlahan daripada bahagian pembrokeran saham, pasaran hutang, dan pasaran ekuiti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, aktiviti dagangan runcit dalam pasaran saham kekal hambar, manakala pendapatan daripada pelaksanaan urus niaga korporat terkesan akibat kelewatan proses usaha wajar serta perubahan struktur urus niaga bagi beberapa mandat utama.

“Meneliti prestasi mengikut segmen bagi tempoh sembilan bulan tersebut, bahagian Perbankan Pelaburan mencatatkan lonjakan untung sebelum cukai (PBT) sebanyak 64 peratus kepada RM14.2 juta, dipacu oleh pengurusan kos pembiayaan yang proaktif oleh T&M.

“Sementara itu, bahagian Pembrokeran Saham melaporkan penurunan PBT sebanyak 23 peratus kepada RM25.1 juta akibat sentimen dagangan runcit yang lemah, namun menunjukkan trend pemulihan suku tahunan yang stabil dengan meraih RM10.4 juta pada suku ketiga,” katanya.

Bahagian Pengurusan Aset pula mencatatkan penurunan PBT kepada RM5.7 mIlia daripada RM8.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu berikutan perbelanjaan operasi perniagaan yang lebih tinggi, walaupun purata dana di bawah pengurusan (AUM) meningkat 29 peratus kepada RM14.9 bilion.

Sebagai sebahagian daripada transformasi digital kumpulan, HLCB telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan kecerdasan buatan (AI) berpusat bagi memelopori penggunaan Agentic AI dalam fungsi pengurusan risiko dan kawalan bank bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Dari segi kelestarian, kumpulan telah melabur sebanyak RM270 juta dalam bon hijau melalui Hong Leong Investment Bank (HLIB), sekali gus melepasi sasaran tahun kewangan 2026 yang ditetapkan sebelum ini sebanyak RM264 juta.

Melangkah ke hadapan, Kong Khoon berkata, di sebalik unjuran pasaran global yang tidak menentu ekoran konflik Asia Barat, pasaran modal Malaysia dijangka kekal daya tahan disokong oleh kecairan institusi domestik yang kukuh serta pelaksanaan pembaharuan struktur negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN