Honda CB650R E-Clutch: Mesra dan bergaya! 

Honda CB650R E-Clutch: Mesra dan bergaya! 

Model ini dijana enjin 649cc DOHC empat silinder.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM segmen motosikal kelas pertengahan, Honda CB650R sememangnya sudah mempunyai identiti tersendiri. 

Ia bukan sekadar sebuah naked bike biasa, tetapi hadir dengan gabungan karakter sporty, gaya neo retro dan enjin empat silinder yang semakin sukar ditemui dalam pasaran semasa. 

Kini, Honda membawa pendekatan baharu menerusi teknologi E-Clutch, satu sistem yang cuba menjadikan pengalaman menunggang motosikal manual lebih mudah dan kurang menakutkan, terutamanya untuk penunggang yang baru mahu beralih ke motosikal berkuasa lebih besar. 

Persoalannya, adakah teknologi ini benar-benar memberi perubahan dalam pengalaman tunggangan harian? 

Reka bentuk neo retro yang masih jadi tarikan 

Dari sudut penampilan, Honda CB650R masih mengekalkan identiti Neo Sports Café yang boleh dikatakan gaya yang tidak lapuk ditelan zaman sejak generasi terdahulu. 

Reka bentuk naked roadster bersama lampu hadapan bulat LED, tangki berotot dan bahagian badan yang minimalis menjadikan motosikal ini nampak moden, tetapi dalam masa sama masih mempunyai sentuhan klasik. 

Menariknya, gaya sebegini menjadikan CB650R nampak serba boleh. Ia tidak terlalu agresif seperti superbike full-fairing, tetapi masih cukup sporty untuk menarik perhatian atas jalan raya. 

Selain itu, penggunaan ekzos bersaiz lebih kompak turut memberi impak kepada keseluruhan penampilan motosikal. 

Bahagian belakang nampak lebih langsing dan kemas, sekali gus membantu motosikal ini terasa lebih ringan dari sudut visual. 

Dalam penggunaan harian, rekaan sebegini turut memberi kelebihan ketika menyelit dalam trafik bandar atau ketika melayan selekoh di laluan B-road kerana posisi badan motosikal terasa lebih fleksibel. 

HANDLEBAR gaya naked yang lebih tegak.

Enjin empat silinder yang masih ada ‘jiwa’

Antara sebab utama ramai masih meminati CB650R adalah enjin empat silindernya. Model ini dijana enjin 649cc DOHC empat silinder sebaris dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan sekitar 94 kuasa kuda (hp) dan 63 tork (Nm). 

Walaupun angka kuasa itu bukanlah paling tinggi dalam kelasnya, karakter penghantaran kuasa enjin ini yang menjadikan CB650R lebih menarik untuk ditunggang. 

Kuasa dihantar secara linear dan stabil, terutama ketika tunggangan jarak jauh atau cruising pada kelajuan tinggi. 

Pendikit terasa lancar dan tidak terlalu agresif, menjadikan motosikal ini lebih mudah dikawal untuk pelbagai tahap penunggang. 

Seperti biasa, enjin empat silinder Honda memang ada identiti bunyinya tersendiri. Semakin tinggi pusingan per minit (RPM), semakin sedap bunyi yang dihasilkan, sesuatu yang semakin sukar ditemui dalam era motosikal dua silinder moden ketika ini. 

Teknologi E-Clutch: Lebih mesra penunggang 

Perkara paling utama pada model ini semestinya sistem Honda E-Clutch. Secara asasnya, sistem ini membolehkan penunggang menukar gear tanpa perlu menarik tuil klac ketika mula bergerak, berhenti atau ketika menukar gear. 

Namun menariknya, tuil klac masih ada dan masih boleh digunakan seperti motosikal manual biasa. 

Dalam penggunaan sebenar, sistem ini memang membantu terutama ketika menunggang dalam kesesakan bandar. 

Penunggang tidak perlu terlalu kerap bermain klac ketika stop-and-go dan risiko motosikal stall juga hampir tiada. 

Bagi penunggang baharu yang mahu beralih ke motosikal besar, sistem ini boleh memberi lebih keyakinan kerana proses mengawal klac menjadi jauh lebih mudah. 

Malah apabila E-Clutch aktif, quickshifter terasa lebih lancar ketika pertukaran gear, terutama semasa memecut. 

Namun begitu, ada beberapa perkara yang mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. 

Bagi penunggang yang sudah lama biasa menggunakan klac manual, rasa hantaran kuasa pada kelajuan rendah mungkin terasa sedikit asing pada awalnya, terutama ketika mula bergerak. 

Selain itu, quickshifter juga tidak berfungsi apabila sistem E-Clutch dimatikan, sesuatu yang mungkin sedikit mengecewakan untuk sesetengah penunggang. 

PAPARAN TFT moden yang memberikan visual lebih jelas.

Posisi tunggangan lebih santai 

Satu daripada kelebihan utama CB650R berbanding full-fairing saudaranya, CBR650R adalah aspek ergonomik. 

Handlebar gaya naked yang lebih tegak membuatkan posisi tunggangan terasa lebih natural dan santai. Ini memberi keselesaan lebih baik untuk tunggangan harian, perjalanan jauh ataupun ketika meredah kesesakan bandar. 

Dalam masa sama, posisi sebegini masih cukup sporty untuk melayan selekoh di laluan berbukit atau B-road. 

Tangki bahan api 15.4 liter pula membantu dari sudut praktikaliti, terutama untuk mereka yang gemar melakukan perjalanan jauh atau menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian.

Honda turut melengkapkan CB650R dengan paparan TFT moden yang memberikan visual lebih jelas dan premium berbanding meter generasi lama. 

Paparan ini nampak lebih bersih, moden dan mudah dibaca walaupun di bawah cahaya terang. Grafik serta susun atur informasi juga membuatkan keseluruhan kokpit motosikal nampak lebih canggih dan selari dengan karakter moden motosikal ini.  

Tambahan pula, Honda turut menyertakan fungsi sambungan Honda RoadSync yang membolehkan integrasi telefon pintar untuk navigasi, panggilan dan muzik. 

Ia sekali gus membantu mengimbangi gabungan elemen retro pada reka bentuk luar dengan teknologi moden pada bahagian dalaman. 

Perkara yang mungkin boleh dipertingkatkan 

Walaupun pengalaman keseluruhan menunggang CB650R E-Clutch agak menyeronokkan, masih ada beberapa perkara yang dirasakan boleh dipertingkatkan. 

Antaranya ialah ketiadaan mod tunggangan seperti Rain, Sport atau Comfort yang kini semakin biasa ditawarkan dalam motosikal moden segmen pertengahan. 

Kehadiran mod sebegini boleh memberi lebih fleksibiliti kepada penunggang untuk menyesuaikan karakter motosikal mengikut keadaan jalan atau cuaca. 

Selain itu, seperti disebut tadi, quickshifter yang tidak aktif apabila E-Clutch dimatikan juga sedikit mengehadkan pilihan pengalaman tunggangan. 

Kesimpulan 

Honda CB650R E-Clutch dijual pada harga sekitar RM47,999 di Malaysia dan boleh dikatakan antara motosikal kelas pertengahan empat silinder yang menawarkan pengalaman tunggangan cukup seimbang. 

Ia sesuai untuk penunggang yang mahukan motosikal harian bergaya, selesa untuk perjalanan jauh, mudah dikendalikan dalam bandar dan dalam masa sama masih mempunyai karakter sporty yang menyeronokkan. 

Teknologi E-Clutch pula boleh dianggap sebagai satu pembaharuan menarik dalam dunia motosikal dua roda. 

Ia mungkin bukan sesuatu yang wajib untuk semua orang, tetapi sistem ini berjaya menjadikan motosikal manual lebih mudah didekati tanpa menghilangkan rasa sebenar menunggang motosikal. 

Paling penting, ia membantu lebih ramai orang untuk mencuba motosikal besar tanpa terlalu takut dengan perkara asas seperti motosikal stall atau kesilapan kawalan klac. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN