Harga minyak susut tipis, Selat Hormuz terus tegang

Harga minyak susut tipis, Selat Hormuz terus tegang

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak merosot semalam selepas ditutup tinggi pada hari Isnin, ketika pedagang terus menilai risiko gangguan bekalan segera di tengah-tengah ketegangan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Niaga hadapan untuk penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent untuk penghantaran Julai jatuh 1.43 peratus kepada AS$112.8 (RM447.04) setong pada lewat petang semalam, manakala niaga hadapan West Texas Intermediate A.S. susut 2.57 peratus kepada AS$103.7 (RM410.95) setong. 

Brent dan WTI masing-masing ditutup enam dan empat peratus lebih tinggi pada hari Isnin.

Lonjakan harga terbaharu berlaku selepas tentera AS menyatakan telah memusnahkan enam bot kecil Iran sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal komersial di Selat Hormuz dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan diserang oleh peluru berpandu dan dron Iran.

Kelmarin, UAE juga dilaporkan telah keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum Arab (OAPEC) yang berpangkalan di Kuwait.

UAE sebelum ini telah pun meninggalkan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pakatan OPEC+.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, peranan OPEC+ dan pengeluar utama seperti Saudi Arabia serta Russia kekal kritikal dalam membentuk trajektori harga minyak dalam tempoh terdekat.

Namun dalam konteks semasa, beliau berkata, kenaikan harga lebih dipacu oleh faktor risiko geopolitik dan gangguan rantaian bekalan berbanding kekangan pengeluaran semata-mata. 

“Ini bermakna ruang dasar bagi OPEC+ adalah lebih kepada pengurusan keseimbangan pasaran berbanding intervensi agresif. 

“Walaupun secara teori kumpulan ini mempunyai kapasiti untuk meningkatkan pengeluaran bagi meredakan tekanan harga, insentif ekonomi semasa tidak menyokong peningkatan mendadak kerana paras harga yang tinggi memberi manfaat fiskal yang signifikan kepada negara pengeluar utama. 

“Sehubungan itu, sebarang pelarasan bekalan berkemungkinan berlaku secara beransur-ansur dan terukur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, UAE yang menunjukkan kecenderungan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran boleh memberikan sedikit kelonggaran kepada bekalan global, namun prinsip asas ‘business is business’ tetap terpakai iaitu pengeluar akan mengimbangi antara mempertahankan harga dan melindungi bahagian pasaran. 

“Secara keseluruhan, trajektori harga minyak dalam jangka pendek akan terus dipengaruhi oleh disiplin bekalan OPEC+ yang pragmatik, dengan peningkatan pengeluaran yang bersifat berhati-hati dan tidak mencukupi untuk menurunkan harga secara ketara dalam masa terdekat,” ujarnya.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent bahawa harga tenaga yang kini meningkat susulan konflik AS-Israel dengan Iran dijangka menurun pada akhir tahun ini, beliau berkata, ia munasabah, namun untuk berada di paras sebelum krisis adalah terlalu optimis.

“Jangkaan untuk kembali ke paras pra krisis sekitar AS$73 (RM289.44) setong dalam horizon terdekat dilihat terlalu optimistik dalam penilaian kami. Harga minyak mentah Brent lebih cenderung kembali normal secara beransur-ansur ke julat AS$80 (RM317.19) hingga AS$85 (RM337.01) setong, mencerminkan premium risiko yang masih ketara. 

“Ini kerana pelarasan harga semasa bukan sekadar didorong oleh gangguan sementara, tetapi oleh kekangan penawaran yang lebih bersifat struktural, khususnya kerosakan infrastruktur tenaga akibat konflik yang memerlukan tempoh pemulihan yang panjang dan mengehadkan kapasiti pengeluaran dalam jangka pendek,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×