Harga emas global ditekan kadar faedah tinggi AS

Harga emas global ditekan kadar faedah tinggi AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga emas global terus berdepan tekanan susulan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang dijangka kekal tinggi dalam tempoh lebih lama selain pengukuhan dolar AS.

Pada pukul 4 petang, harga emas spot naik 0.41 peratus kepada AS$4,550.80 (RM 18,055.30) seauns berbanding AS$4,495.092 (RM 17,825.29) seauns selepas mencatatkan paras terendah sejak 26 Mac. 

Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng berkata, sentimen pelabur ketika ini lebih tertumpu kepada hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed) berbanding ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global yang masih berlarutan.

“Walaupun ketidaktentuan global masih wujud, pasaran kini lebih memberi perhatian kepada jangkaan kadar faedah AS yang kekal tinggi dan pengukuhan dolar AS.

“Faktor-faktor ini memberi tekanan kepada harga emas dalam jangka pendek,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, penurunan harga emas ketika ini lebih bersifat pembetulan pasaran selepas kenaikan kukuh sebelum ini dan bukannya menandakan trend penurunan jangka panjang.

“Faktor asas yang menyokong emas seperti pembelian oleh bank pusat serta ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik masih kekal,” jelasnya.

Dalam pada itu, ujar Louis, kadar faedah tinggi di AS turut mempengaruhi minat pelabur terhadap emas apabila mereka cenderung beralih kepada instrumen kewangan yang menawarkan pulangan lebih tinggi.

“Apabila kadar faedah tinggi, pelabur cenderung beralih kepada instrumen yang memberikan pulangan. Ini boleh mengurangkan permintaan emas dalam jangka pendek.

“Sebaliknya, jika Fed mula menurunkan kadar faedah, ia lazimnya memberi sokongan kepada harga emas,” katanya.

Mengulas sama ada sekarang merupakan masa terbaik untuk membeli emas, beliau berkata, pelabur tidak seharusnya terlalu memberi tumpuan untuk menentukan paras harga terendah.

“Tiada siapa boleh meramal paras harga terendah dengan tepat. Bagi penyimpan jangka panjang, pendekatan terbaik ialah membeli secara konsisten mengikut kemampuan dan bukannya menunggu masa yang sempurna,” katanya.

Sementara itu,  Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, kejatuhan harga emas ketika ini dipengaruhi oleh beberapa faktor global yang mengatasi fungsi logam berharga itu sebagai aset perlindungan. 

Beliau berkata, faktor utama ialah pengukuhan semula mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan pasaran bahawa Bank Pusat AS (Rizab Persekutuan) akan mengekalkan kadar faedah yang tinggi bagi tempoh lebih lama.

“Apabila kadar faedah kekal tinggi, kos peluang untuk memegang emas meningkat. Pelabur kini lebih tertarik kepada bon kerajaan AS yang menawarkan pulangan tinggi berbanding emas yang tidak memberikan sebarang dividen atau faedah semasa.

“Selain itu, penurunan ini turut didorong oleh aktiviti pengambilan untung selepas harga emas melonjak lebih 35 peratus berbanding tahun lalu, sehingga pernah mencecah rekod tertinggi sekitar AS$5,600 seauns pada awal 2026,” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju pasaran, Abdul Rais menyifatkan kejatuhan instrumen tersebut sebagai fasa pembetulan pasaran jangka pendek dan bukannya permulaan kepada trend penurunan jangka panjang.

Menurut beliau, harga emas dunia ketika ini masih berada pada paras sekitar AS$4,500 seauns, iaitu 37 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu, dengan asas jangka sederhana komoditi itu kekal kukuh terutamanya bersandarkan kepada pengurusan ekonomi di AS.

“Hubungan antara kadar faedah dan emas adalah ringkas; jika kadar faedah naik, emas akan turun dan begitulah sebaliknya. Sebab itu pasaran kini lebih memberi perhatian kepada kenyataan Rizab Persekutuan berbanding perkembangan konflik geopolitik semata-mata,” katanya.

Mengenai impak pasaran tempatan, beliau berkata, harga emas di Malaysia dipengaruhi oleh dua pemboleh ubah utama iaitu harga emas dunia dan kadar pertukaran dolar AS berbanding ringgit.

“Jika harga emas dunia turun tetapi dolar AS terus mengukuh, harga emas di Malaysia mungkin tidak akan turun banyak. Namun, sekiranya ringgit mengukuh, harga emas tempatan boleh menjadi lebih murah walaupun harga dunia stabil,” katanya. 

Bagi korporat atau individu yang bercadang untuk membuat pelaburan, Abdul Rais menyarankan agar pelabur menggunakan strategi pembelian secara berperingkat atau purata kos dolar berbanding melabur semua modal sekali gus.

Tambahnya, strategi itu lebih rasional memandangkan volatiliti harga emas sepanjang tahun 2026 ini masih berada pada tahap yang sangat tinggi dan boleh berubah secara drastik.

“Emas bukan instrumen untuk meramal pasaran, sebaliknya ia adalah untuk perlindungan nilai. Jika tujuannya untuk pelaburan jangka panjang sekitar lima hingga 10 tahun, pelabur sudah boleh mula membeli secara berperingkat,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN