PETALING JAYA: Feytech Holdings Berhad memperoleh kontrak pembekalan sarung tempat duduk bernilai RM96.83 juta bagi model baharu Proton dengan pengeluaran dijadualkan bermula penggal keempat tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Connie Go berkata, kontrak tersebut merupakan kesinambungan hubungan jangka panjang dengan Proton yang bermula sejak 2012.
“Feytech berkembang seiring industri automotif nasional dan kami berbangga dapat menyokong pengeluar kereta nasional ini dalam fasa baharu pengembangan produknya,” katanya dalam kenyataan.
Bahagian pembuatan kemasan kulit kumpulan itu, Gosford Leather Industries Sdn. Bhd. dilantik sebagai pembekal tempat duduk syarikat pengeluar peralatan asli (OEM) bagi model Proton baharu ini menerusi surat penerimaan yang merangkumi tempoh 84 bulan.
Sumber industri turut melaporkan model tersebut berkemungkinan menggunakan nama Saga Cross.
Tahun lalu, Proton mendedahkan pembangunan platform AMA02, AMA05 dan AMA06 bagi menggantikan model Persona, Iriz, Exora serta Saga lama, dengan sasaran segmen harga bawah RM80,000.
Dalam perkembangan berasingan, usaha sama Feytech bersama Wuhu Ruitai Auto Parts Co. Ltd menerusi FTRT Autoparts Sdn. Bhd., yang kini menghasilkan tempat duduk bagi model Jaecoo J7, Jetour dan Omoda 5 Chery terus memperkukuh hubungan dengan pengeksport kenderaan penumpang terbesar China itu.
Connie berkata, FTRT Autoparts akan memulakan pengeluaran tempat duduk bagi model terbaharu Chery q mulai penggal ketiga tahun ini di fasiliti khususnya di Subang, di bawah rangka kerja penyetempatan sedia ada.
“FTRT ditubuhkan bagi menyokong keperluan penyetempatan pengeluar OEM dari China yang beroperasi di Malaysia menerusi rangka kerja pemasangan sepenuhnya (CKD).
“Kedua-dua program ini selari dengan strategi kumpulan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pembekal tempat duduk Tier-1 kepada OEM domestik dan serantau.
“Ia sekali gus meningkatkan kadar penggunaan kapasiti serta kestabilan pendapatan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










