PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis ini, didorong oleh ekonomi negara yang berdaya tahan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, bank pusat dijangka mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati, terutamanya berkenaan kesan perang Iran kepada ekonomi negara.
Katanya, mesyuarat MPC akan bertumpukan kepada penilaian terkini BNM terhadap keadaan ekonomi semasa negara, baik dari segi pertumbuhan dan juga inflasi.
“Pada dasarnya, ekonomi Malaysia sangat berdaya tahan kerana sebagai sebuah negara yang masih mengeksport gas asli cecair (LNG) dan minyak yang ditapis.
“Oleh itu, kita dapat lihat keyakinan dari segi keadaan semasa ekonomi negara berbanding dengan negara-negara jiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengasas Bersama Juwai IQI dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari dalam satu kenyataan mengunjurkan OPR akan dikekalkan pada kadar semasa pada Khamis ini, namun perlu mempertingkan untuk menaikkan kadar pada pada lewat tahun nanti.
“Kami jangka MPC akan mengekalkan kadar faedah, tetapi apa yang paling ketara buat kali ini ialah jawatankuasa perlu mempertimbangkan bukti bahawa ia mungkin perlu menaikkan kadar faedah pada lewat tahun ini.
“Sebelum ini, BNM tidak menaikkan kadar sejak Mac 2023 tetapi buat kali pertamanya dalam tempoh dua tahun, perbincangan akan beralih kepada sama ada kadar faedah perlu dinaikkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kashif menambah, tekanan kenaikan kadar faedah yang masih terhad memberi cerminan baik untuk para pengguna dan peniaga Malaysia.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama sebanyak 5.3 peratus juga menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia di sebalik situasi ekonomi global terkini.
“Pendek kata, terdapat kes meramalkan kenaikan kadar pada tahun ini tetapi ia bergantung kepada prestasi ekonomi dan inflasi semasa.
“Pada masa yang sama, faktor-faktor seperti harga minyak dan tarif baharu daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mungkin boleh mempengaruhi keputusan MPC secara amnya”, tambah Kashif. – UTUSAN










