PETALING JAYA: Axis REIT dijangka terus mendapat manfaat daripada kadar sewa lebih tinggi bagi aset industri utamanya di lokasi strategik, susulan peningkatan kadar sewaan bagi Gudang Logistik Seberang Perai 2 dan Bukit Raja Distribution Centre berbanding perjanjian terdahulu.
Penganalisis MBSB Research, Jessica Low Jze Tieng berkata, kadar penghunian portfolio Axis REIT kekal kukuh pada 94 peratus bagi suku pertama tahun kewangan 2026.
“Gudang Logistik Seberang Perai 2 yang kosong pada suku keempat tahun kewangan 2025 kini telah disewa sepenuhnya setakat Mac 2026 selepas penyewaan baharu bermula pada bulan tersebut.
“Sementara itu, kadar penghunian Bukit Raja Distribution Centre meningkat kepada 16 peratus daripada sifar pada suku sebelumnya dan dijangka terus meningkat kepada 58 peratus pada suku kedua tahun kewangan 2026,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Pendapatan teras bersih Axis REIT bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berjumlah RM49.9 juta, berada dalam julat jangkaan pasaran, sekali gus mewakili 23 peratus daripada unjuran tahun penuh kumpulan serta konsensus penganalisis.
Jessica berkata, bagi suku dikaji, Axis REIT turut mengumumkan agihan pendapatan sesaham (DPU) sebanyak 2.50 sen.
“Secara suku ke suku, pendapatan teras bersih meningkat 3.3 peratus kepada RM49.9 juta, manakala hasil susut marginal 0.8 peratus, dipengaruhi pendapatan sewa belum dibil serta kos pentadbiran yang lebih rendah.
“Secara tahunan, pendapatan teras bersih susut 1.2 peratus kepada RM49.9 juta, meskipun hasil kekal hampir mendatar dengan peningkatan kecil 0.8 peratus.
“Penurunan kecil keuntungan ini disebabkan peningkatan ketara kos pentadbiran sebanyak 70.6 peratus tahun ke tahun,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Axis REIT terus aktif mengembangkan portfolio aset industrinya dengan nilai keseluruhan pemerolehan sasaran dianggarkan sekitar RM350 juta.
“Unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 dikekalkan tanpa perubahan, begitu juga harga sasaran (TP) RM2.17 yang berdasarkan kaedah dividend discount model.
“Saranan ‘beli’ turut dikekalkan, disokong prospek pendapatan yang stabil dalam jangka pendek hingga sederhana, didorong kenaikan kadar sewa aset industri serta aktiviti pengambilalihan aset yang aktif.
“Pada masa sama, hasil agihan kasar kekal menarik pada 5.2 peratus, manakala hasil bersih dianggarkan sekitar 4.8 hingga 3.8 peratus selepas mengambil kira kadar cukai 10 peratus hingga 30 peratus,” katanya. – UTUSAN










