Aliran keluar bersih Bursa Malaysia cecah RM912.6 juta - Utusan Malaysia

Aliran keluar bersih Bursa Malaysia cecah RM912.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sentimen pelabur asing di Bursa Malaysia kekal berhati-hati apabila institusi asing meneruskan aktiviti jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM912.6 juta, menurut MBSB Research.

Sepanjang minggu dagangan lalu, institusi asing mencatatkan jualan bersih pada setiap hari dagangan. 

“Aliran keluar terbesar direkodkan pada hari Rabu sebanyak RM329.2 juta, diikuti Selasa (RM256.5 juta), Khamis (RM156.5 juta), Isnin (RM106.3 juta) dan Jumaat (RM64.2 juta),” katanya dalam nota penyelidikan.

Dari sudut sektor, hanya tiga sektor berjaya menarik aliran masuk bersih asing iaitu sektor teknologi sebanyak RM79.2 juta, pengangkutan dan logistik (RM57.0 juta) serta tenaga (RM1.3 juta).

“Sebaliknya, sektor produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan aliran keluar asing terbesar sebanyak RM347.4 juta, diikuti sektor utiliti sebanyak RM214.7 juta dan penjagaan kesihatan sebanyak RM180.7 juta,” katanya.

Dalam perkembangan sama, institusi tempatan terus menjadi penyokong utama pasaran apabila meneruskan trend belian bersih untuk minggu keenam berturut-turut dengan jumlah aliran masuk bersih RM572.9 juta.

“Pelabur runcit turut mengekalkan momentum positif apabila mencatatkan belian bersih bagi minggu kedua berturut-turut dengan aliran masuk sebanyak RM339.7 juta,” katanya.

Sementara itu, aktiviti dagangan juga menunjukkan peningkatan merentas semua kategori pelabur. 

Purata volum dagangan harian (ADTV) pelabur runcit meningkat 0.7 peratus, manakala institusi tempatan dan institusi asing masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus dan 7.3 peratus.

Perkembangan ini mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur asing di tengah ketidaktentuan pasaran global, sementara pelabur domestik terus memainkan peranan penting dalam menyokong kestabilan Bursa Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN