AirAsia tempah 150 pesawat generasi baharu Airbus A220-300 - Utusan Malaysia

AirAsia tempah 150 pesawat generasi baharu Airbus A220-300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia menempah 150 pesawat generasi baharu Airbus A220-300, satu perjanjian pembelian yang mencatat rekod sebagai tempahan tunggal terbesar bagi model A220.

Perkembangan membawa program A220 melepasi paras 1,000 tempahan, sekali gus mengukuhkan daya tarikan global pesawat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, keputusan ini mencerminkan disiplin jangka panjang dan aspirasi besar syarikat untuk berkembang.

“A220 akan membuka pasaran dan laluan baharu serta membawa AirAsia lebih hampir kepada matlamat menjadi penerbangan rangkaian kos rendah sebenar yang pertama di dunia,” katanya.

Perjanjian itu diumumkan dalam satu majlis di fasiliti Airbus di Mirabel, Kanada yang turut dihadiri oleh Tony dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pesawat Komersial Airbus, Lars Wagner, disaksikan oleh Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, dan Premier Quebec, Christine Fréchette.

Sementara itu, Lars berkata, A220 adalah platform optimum untuk AirAsia kerana gabungan kos operasi rendah, jarak penerbangan jauh serta kecekapan bahan api.

Beliau turut menegaskan bahawa perjanjian ini selari dengan strategi rangkaian baharu syarikat penerbangan tersebut.

“A220 merupakan pesawat paling moden dalam kategori saiznya, mampu membawa antara 100 hingga 160 penumpang dengan jarak penerbangan sehingga 3,600 batu nautika (6,700 km). Setakat Mac 2026, sebanyak 501 unit telah dihantar kepada 25 operator di seluruh dunia.

“Seperti pesawat Airbus lain, A220 sudah boleh beroperasi menggunakan sehingga 50 peratus bahan api penerbangan mampan (SAF), dengan sasaran Airbus untuk membolehkan penggunaan sehingga 100 peratus SAF menjelang 2030,” ujarnya.

Pembelian ini menjadikan AirAsia sebagai pelanggan baharu bagi pesawat A220, selain menjadi pelanggan pelancaran bagi konfigurasi kabin baharu yang mampu memuatkan sehingga 160 penumpang.

Peningkatan kapasiti sebanyak 10 tempat duduk itu boleh dicapai melalui penambahan satu pintu keluar kecemasan di bahagian sayap pada setiap sisi pesawat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN