PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank milik pengeluar baja khusus, Cropmate Bhd. serta anak syarikatnya, baru-baru ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cropmate berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai tindakan tersebut pada 24 April lalu.
Menurutnya, tindakan itu dibuat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi tujuan siasatan yang sedang dijalankan.
“Perintah pembekuan berkenaan merupakan prosedur biasa dalam proses siasatan.
“Berdasarkan maklumat semasa, lembaga pengarah tidak mempunyai sebarang petunjuk bahawa perkara ini berpunca daripada salah laku pihak pengurusan atau pekerja kumpulan,” katanya.
Cropmate memaklumkan, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.
“Syarikat turut mengambil langkah perlu dalam urusan biasa bagi memudahkan pelepasan akaun bank terlibat di bawah Seksyen 44A AMLA.
“Pada masa sama, syarikat sentiasa menjalankan perniagaan dengan mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa serta tidak menyedari sebarang salah laku,” katanya.
Menurutnya, Cropmate masih mempunyai akses kepada kemudahan perbankan alternatif bagi menyokong kelangsungan operasi perniagaan.
Dalam pada itu, Lembaga Pengarah Cropmate tidak menjangkakan perkara tersebut akan memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan atau operasi dan operasi harian syarikat kekal berjalan seperti biasa.
“Kami komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan pihak berkuasa dan menyokong sepenuhnya proses siasatan yang sedang berlangsung.
“Perniagaan kami kekal stabil dan pelanggan serta rakan niaga tidak terjejas.
“Operasi diteruskan seperti biasa dengan sokongan pengaturan perbankan sedia ada, dan kami kekal fokus dalam memberikan nilai kepada pihak berkepentingan sepanjang tempoh ini,” ujarnya.
Lembaga pengarah akan membuat pengumuman lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perkembangan material. – UTUSAN










