Sokongan fiskal bantu redakan tekanan ekonomi susulan konflik Asia Barat

Sokongan fiskal bantu redakan tekanan ekonomi susulan konflik Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tekanan ekonomi susulan konflik Asia Barat dijangka dapat dikurangkan melalui sokongan fiskal, kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Firma itu berkata, langkah berkenaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain disokong pengukuhan ringgit serta ketahanan perbelanjaan dalam sektor makanan dan minuman.

Menurutnya, perbelanjaan keperluan kekal menjadi keutamaan dengan penggunaan domestik dalam jangka terdekat masih cenderung kepada barangan asas.

“Ia sekali gus menandakan perbelanjaan pilihan akan berkurangan sekiranya tekanan kos meningkat.

“Ini sejajar dengan pandangan dalaman kami bahawa inflasi mungkin meningkat susulan konflik Asia Barat dengan unjuran inflasi bagi 2026 disemak naik kepada 2.1 peratus berbanding 1.9 peratus sebelum ini.

“Meskipun subsidi tenaga dan pengukuhan ringgit dijangka terus menstabilkan harga, potensi gangguan dalam rantaian bekalan minyak dan baja boleh meningkatkan kos makanan serta pengangkutan, sekali gus melemahkan kuasa beli isi rumah,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dari perspektif portfolio, Kenanga IB berkata, prestasi saham wajaran tinggi secara keseluruhan kekal stabil.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya kekal positif secara terpilih terhadap saham yang menunjukkan ketahanan keuntungan lebih kukuh, bersifat defensif, tertumpu kepada keperluan asas serta mempunyai asas kewangan yang mantap dan penilaian menarik.

“Oleh itu, penggunaan domestik kekal teguh, namun perbelanjaan masih berhati-hati dan selektif apabila pengguna mengutamakan pembelian barangan keperluan serta meningkatkan simpanan.

“Trend ini jelas dalam prestasi subsektor sepanjang tahun apabila kedai serbaneka dan pasar mini mencatatkan prestasi lebih baik sebanyak 13 peratus.

“Sebaliknya, segmen pilihan seperti perabot, pembaikan rumah dan barangan elektrik menyusut 10 peratus, mencerminkan perbelanjaan bukan keperluan masih ditangguhkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN