KUALA LUMPUR: Jenama restoran kasual-pantas terkemuka dari Amerika Syarikat, Slim Chickens melebarkan sayapnya ke pasaran Asia dengan menyasarkan pembukaan sehingga 12 cawangan baharu di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pelancaran rasmi itu disusuli dengan pembukaan cawangan kedua jenama berkenaan di NU Sentral, selepas cawangan pertamanya di SS15, Subang Jaya yang dibuka pada Jun 2025 mendapat sambutan memberangsangkan.
Pengarah Pemasaran Slim Chickens Malaysia, Shuen Chiu berkata, Malaysia dipilih sebagai lokasi sulung di rantau ini kerana mempunyai profil pelanggan yang sangat mementingkan kualiti dan rasa dalam segmen hidangan berasaskan ayam.
“Sasaran kami adalah untuk membuka sekurang-kurangnya sembilan hingga 12 lagi cawangan baharu dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang.
“Slim Chickens berada dalam kategori tersendiri iaitu chicken tenders kasual-pantas. Kami bukan restoran makanan segera biasa, sebaliknya tumpuan kami adalah menghasilkan kepingan isi ayam segar yang rangup dan berjus, dipadankan dengan 12 variasi sos buatan sendiri,” katanya pada majlis pelancaran rasmi Slim Chickens Malaysia di sini, semalam.
Hadir sama, Pengurus Halal, Rantaian Bekalan dan Jaminan Kualiti, Amirul Ashraf Ravi; Pengurus Operasi, Sanggari Athimulam serta Ketua Peruncitan NU Sentral, Alice You.
Mengulas mengenai aspek pematuhan, Shuen berkata, Slim Chickens Malaysia telah memperoleh pensijilan halal bagi memastikan setiap hidangan memenuhi piawaian tertinggi sepanjang rantaian bekalan.
“Kami mengekalkan kawalan dalaman yang ketat bermula daripada penyumberan bahan sehinggalah operasi di dapur bagi memberi keyakinan kepada pelanggan di Malaysia,” katanya.
Setakat Ogos 2025, Slim Chickens mempunyai lebih 300 cawangan di seluruh dunia dengan lebih 1,000 lokasi lagi sedang dalam fasa pembangunan, termasuk rancangan memasuki pasaran baharu seperti Filipina, Turki, dan Arab Saudi tahun ini.
Kemasukan jenama ini dilihat tepat pada waktunya memandangkan pasaran perkhidmatan makanan Malaysia dinilai pada dolar Amerika Syarikat (AS) 16.67 bilion (kira-kira RM67 bilion) pada tahun ini dan diunjur meningkat kepada dolar AS30.74 bilion menjelang 2031, dipacu oleh peningkatan kuasa beli pengguna dan pertumbuhan ekonomi yang stabil. – UTUSAN










