Sistem maklumat tidak selaras punca pembeli rumah keliru

Sistem maklumat tidak selaras punca pembeli rumah keliru

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROSES memiliki kediaman pertama kini menuntut usaha yang tinggi daripada bakal pembeli apabila realiti di lapangan menunjukkan penyampaian maklumat hartanah yang tidak seragam masih menjadi cabaran utama.

Bagi kakitangan kerajaan, Khairin Fadhlian Jaini, 28, proses membuat keputusan menjadi perlahan berikutan cara penyampaian maklumat yang berbeza antara ejen dan portal.

“Maklumat secara asasnya memang ada, tetapi apabila kita bandingkan beberapa unit, setiap ejen menerangkan dengan cara berbeza. Ini memaksa pembeli mengambil masa untuk menyusun semula maklumat tersebut mengikut kefahaman sendiri.

“Walaupun kerjasama ejen secara keseluruhannya baik, tanggungjawab untuk menapis dan mengesahkan maklumat masih terletak sepenuhnya di bahu pembeli. Kita tidak boleh berharap kepada satu sumber sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Khairin Fadhlian, dalam tempoh enam bulan, beliau telah menghadiri lebih tiga sesi lawatan rumah bagi memastikan setiap butiran yang diterima secara digital adalah tepat dengan keadaan fizikal kediaman.

Situasi ini menggambarkan bahawa cabaran utama pasaran hartanah masa kini bukan lagi kekurangan pilihan, sebaliknya adalah lambakan maklumat yang tidak terselaras sehingga memerlukan pembeli meluangkan lebih banyak tenaga dan masa.

Penambahbaikan dari segi ketelusan data dan penyelarasan maklumat oleh semua pihak termasuk pemaju dan platform iklan dilihat penting bagi memudahkan urusan pembeli pada masa hadapan.

Dalam pasaran yang sepatutnya memudahkan pengguna, pembeli kini seolah-olah perlu bertindak sebagai penyelidik bebas bagi memastikan pelaburan terbesar dalam hidup mereka itu dibuat dengan tepat.

Mengulas lanjut, Khairin Fadhlian berkata, penggunaan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) atau automasi dalam portal hartanah tidak akan membawa perubahan besar sekiranya data asas yang dimasukkan tidak dikemas kini.

Menurut beliau, sekiranya maklumat asal seperti status ketersediaan rumah atau harga terkini adalah salah, teknologi AI hanya akan menyebarkan maklumat yang tidak tepat itu dengan lebih cepat dan meluas.

“AI tidak akan dapat membantu jika data yang digunakan itu sendiri sudah lapuk atau tidak disahkan. Malah, ia boleh memburukkan lagi keadaan kerana pembeli akan menerima maklumat salah pada skala yang lebih besar.

“Bagi pembelian sebesar hartanah, kita tidak boleh bergantung kepada sistem yang hanya mementingkan kepantasan tetapi mengabaikan ketepatan. Akhirnya, pembeli tetap perlu melakukan kerja manual untuk mengesahkan segala-galanya bagi mengelakkan kerugian kewangan,” katanya.

Tambahnya, pemain industri perlu lebih fokus kepada penyelarasan maklumat yang sahih berbanding hanya mengejar jumlah iklan semata-mata, bagi memastikan ekosistem hartanah negara lebih mesra pengguna dan dipercayai.

Sementara itu, Nor Irwani, 31, berkata, pengalaman mencari rumah pertama memerlukan penelitian yang mendalam berikutan wujudnya perbezaan ketara pada harga dan spesifikasi walaupun bagi unit yang kelihatan serupa.

“Pada awalnya nampak mudah kerana banyak pilihan di portal hartanah, tetapi apabila diteliti, kita kena faham faktor lokasi, kepadatan kawasan dan kemudahan sekitar yang membezakan harga.

“Ada juga situasi di mana rumah sudah lama siap tetapi masih disenaraikan sebagai unit baharu. Perkara sebegini memerlukan pembeli untuk lebih teliti menilai setiap pilihan agar tidak tersilap langkah,” katanya.

Jelasnya, sepanjang tempoh setahun pencarian, beliau terpaksa melakukan banyak perbandingan sendiri bagi memastikan rumah yang dipilih benar-benar memenuhi kehendak dan bajet peribadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×