Shopee Lindung Niaga insiatif bernilai RM150 juta sokong PMKS tempatan - Utusan Malaysia

Shopee Lindung Niaga insiatif bernilai RM150 juta sokong PMKS tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Shopee, platform e-dagang terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan, melancarkan Shopee Lindung Niaga, satu inisiatif bernilai RM150 juta bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

inisiatif tersebut dirangka bagi menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi aspek penghantaran, akses kepada modal kerja serta pemenuhan pesanan, sekali gus membantu perniagaan tempatan mengekalkan operasi dan meningkatkan daya tahan jangka panjang.

Naib Presiden Shopee Malaysia, Ian Ho berkata, program itu memberi fokus kepada penyelesaian praktikal yang dapat membantu PMKS menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran semasa.

“Shopee Lindung Niaga direka untuk menyediakan sokongan praktikal pada masa dan tempat yang paling diperlukan, di samping kami terus melabur dalam sistem dan alat yang menjadi sandaran perniagaan kecil untuk terus beroperasi dan berkembang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keseimbangan antara keperluan pengguna dan kelangsungan perniagaan adalah penting dalam memastikan ekosistem e-dagang kekal mampan.

“Di bawah pakej tersebut, Shopee memperkenalkan tiga teras utama, termasuk langkah merangsang aktiviti jual beli melalui baucar penghantaran percuma tanpa pembelian minimum serta sokongan khusus bagi barangan bersaiz besar seperti perabot dan peralatan rumah.

“Selain itu, Shopee turut memperluas akses pembiayaan melalui kerjasama dengan Monee, menerusi kemudahan seperti SLoan for Sellers dan Quick Funds bagi membantu penjual mengurus aliran tunai serta mempercepatkan pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Dalam aspek operasi, platform itu juga meningkatkan akses kepada Fulfilled by Shopee (FBS), termasuk tawaran percubaan percuma selama enam bulan bagi membantu penjual mengurus logistik dan pergudangan dengan lebih cekap. 

Penjual yang menggunakan FBS dilaporkan mencatat peningkatan purata kira-kira 20 peratus dalam trafik kedai.

Shopee turut memperkukuh daya saing jangka panjang PMKS melalui pelaburan dalam teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), termasuk penggunaan Chat AI Assistant, Product AI Optimiser dan AI Model Try-On bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Pelancaran inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik dalam menyokong pemulihan serta pertumbuhan sektor e-dagang tempatan, khususnya ketika perniagaan berdepan tekanan kos dan ketidaktentuan ekonomi global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN