KLANG: Sebuah hab inovasi menyeluruh akan dibangunkan melalui kerjasama antara Pure Mylk dan Tetra Pak bagi membantu jenama tempatan membangunkan minuman berfungsi berasaskan tumbuhan yang inovatif di Malaysia.
Kerjasama ini selaras dengan peningkatan permintaan terhadap minuman berfungsi, iaitu minuman yang diperkaya dengan bahan tambahan seperti protein, vitamin dan probiotik, yang diunjurkan mencecah kira-kira AS$758.99 bilion menjelang 2034.
Menerusi inisiatif ini, teknologi pemprosesan dan kepakaran pembungkusan Tetra Pak akan digabungkan di The Mylky Way, sebuah hab inovasi menyeluruh bagi produk berasaskan tumbuhan milik Pure Mylk di Pulau Indah, Selangor.
Langkah ini menawarkan jenama tempatan akses kepada keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang canggih, ujian berskala rintis serta sokongan pembangunan produk secara kolaboratif.
Peningkatan permintaan ini didorong oleh pengguna yang lebih mengutamakan produk yang menyokong kesihatan fizikal mereka.
Di Malaysia, pasaran minuman berasaskan tumbuhan juga menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, dengan unjuran peningkatan daripada AS$18.5 bilion pada 2025 kepada AS$39.7 bilion menjelang 2031.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal berkata, ini merupakan satu langkah penting dalam usaha mentransformasikan landskap makanan dan minuman Malaysia ke arah ekosistem yang lebih mampan, berdaya tahan, serta dipacu inovasi berasaskan bio.
“Saya berharap Pusat inovasi ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi tempatan, pembangunan produk berasaskan bio yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bio-ekonomi terkemuka di rantau ini,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran pusat hab inovasi Pure Mylk The Mylky Way di Pulau Indah hari ini.
Menurut Mohammad Yusof, hab ini memperlihatkan sinergi sektor swasta dengan dasar kerajaan dalam membangunkan masa depan sistem makanan yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta gangguan rantaian bekalan global.
“Inisiatif ini menyokong secara langsung Dasar Bioteknologi Negara 2.0 serta Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (NAP 2.0).
“la membuktikan bahawa inovasi yang diterajui industri melengkapi aspirasi negara dalam membina ekosistem makanan yang mampan dan pintar-iklim,” katanya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pure Mylk, Marcus Khoo berkata, penubuhan hab ini bukan sekadar naik taraf kilang sedia ada, tetapi merupakan pembentukan satu ekosistem lengkap yang menyediakan akses kepada teknologi, kepakaran, serta persekitaran inovasi yang diperlukan oleh industri.
“Cabaran utama industri makanan hari ini bukan lagi sekadar pengeluaran, tetapi keupayaan untuk berinovasi dengan pantas dan efektif.Hab ini membolehkan syarikat menjalankan ujian produk, formulasi dan pengeluaran berskala kecil di bawah satu bumbung,” katanya.
Jelas beliau, kemudahan tersebut dijangka membantu pemain industri mengurangkan risiko pembangunan produk serta mempercepat proses eksperimen dan pelancaran.
“Ia turut menyokong trend pengguna moden yang mahukan produk lebih sihat, mampan dan inovatif,” katanya.
The Mylky Way menggabungkan proses penjanaan idea, eksperimentasi dan penciptaan bersama dalam satu ruang, membolehkan jenama bekerjasama dengan pakar Pure Mylk dan Tetra Pak bagi membangunkan formulasi, menguji bahan, memperhalusi konsep serta meneroka format pembungkusan di satu lokasi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Tetra Pak bagi Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia, Marcelo Perazzo berkata, melalui kerjasama dengan Pure Mylk, pihaknya menetapkan penanda aras baharu bagi industri minuman berfungsi dan berasaskan tumbuhan di Malaysia.
“Langkah ini membolehkan jenama tempatan berinovasi, menjalankan pembungkusan secara bersama, serta menembusi pasaran serantau dengan lebih yakin. lanya akan mempercepatkan perjalanan inovasi dan mengukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju pasaran,” katanya.-UTUSAN










