PETALING JAYA: PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) menganjurkan program Jelajah Warisan KL di tapak bersejarah Stadium Merdeka.
Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Ir. Ts. Izwan Ibrahim berkata, inisiatif tersebut memperlihatkan jalinan harmoni mercu tanda bersejarah Stadium Merdeka dengan pembangunan moden Menara Merdeka 118.
“Acara itu merupakan sebahagian daripada agenda pemulihan Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL) atas kerjasama badan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), rakan warisan dan komuniti setempat.
“Pemilikan bersama penting untuk melestarikan warisan presint Merdeka 118 dan memastikan relevannya untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Izwan berkata, program itu menzahirkan elemen utama Ekonomi Madani yang merangkumi aspek keterangkuman, kemakmuran serta pemuliharaan budaya negara.
“Program berkonsepkan aktiviti berjalan kaki itu menghubungkan semula pihak berkepentingan dengan zon warisan bagi memaparkan potensi transformasi kawasan tersebut terhadap sektor pelancongan, ekonomi dan kehidupan komuniti.
“Masyarakat dapat meneroka semula dan menghargai ruang sejarah ibu kota melalui pendekatan di peringkat akar umbi,” katanya.
Katanya, pelaksanaan program terbabit turut menterjemahkan komitmen jangka panjang pihak PNB dan PNBMV dalam menyokong pelbagai inisiatif berkaitan kebudayaan serta nadi komuniti Kuala Lumpur.
Majlis berkenaan disertai oleh Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shamshul Joehari, ketua jawatankuasa kerja Warisan KL, Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin, serta wakil dari Jabatan Warisan Negara dan Think City Sdn. Bhd.
Penduduk dari Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak, PA Jalan Hang Tuah dan PA Loke Yew turut menyertai lawatan berpandu serta acara berbuka puasa beramai-ramai di atas padang stadium bersejarah itu. – UTUSAN










