PNB terima Pensijilan WELL Platinum untuk reka bentuk dalaman pejabat - Utusan Malaysia

PNB terima Pensijilan WELL Platinum untuk reka bentuk dalaman pejabat

RICK Ramli (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir. Ts. Izwan Ibrahim (kanan) dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PNB, Norhanifah A. Jalil (kiri) menerima dua pengiktirafan daripada International WELL Building Institute (IWBI) bagi reka bentuk dalaman pejabat PNB dan Pensijilan WELL Core Platinum bagi Menara Merdeka 118.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) meraih Pensijilan WELL pada tahap Platinum bagi reka bentuk dalaman pejabatnya di bawah piawaian WELL yang diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh International WELL Building Institute (IWBI).

Pencapaian itu sekali gus menjadikan projek berkenaan sebagai reka bentuk dalaman pejabat terbesar di Asia Tenggara yang menerima Pensijilan WELL Platinum.

Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Rick Ramli berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu mercu penting dalam usaha syarikat membudayakan kesihatan dan kesejahteraan dalam strategi tempat kerja.

“Sebagai projek terbesar di Asia Tenggara yang menerima Pensijilan WELL Platinum, pencapaian ini mencerminkan komitmen kami dalam menetapkan penanda aras baharu bagi korporat Malaysia.

“Ini di mana prestasi organisasi dan kesejahteraan pekerja bergerak seiring,” katanya dalam kenyataan.

Pensijilan itu dicapai menerusi kerjasama dengan rakan strategik kelestarian PNB iaitu JLL Sustainability Consulting dan Airscan Malaysia, sekali gus memperkukuh komitmen terhadap kesihatan tempat kerja serta prestasi alam sekitar selaras piawaian global.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Asia Pasifik IWBI, Jack Noonan berkata, pencapaian tersebut memberi isyarat jelas bahawa aspek kesihatan kini menjadi pembeza daya saing dalam organisasi.

“Dengan meraih tahap tertinggi Pensijilan WELL bagi projek terbesar seumpamanya di rantau ini, PNB meletakkan asas organisasi berteraskan kesihatan dengan kesejahteraan pekerja sebagai keutamaan, sekali gus memberi impak besar kepada prestasi perniagaan,” katanya.

Pensijilan itu turut melengkapi Pensijilan WELL Core Platinum yang dicapai oleh Menara Merdeka 118, yang menempatkan ibu pejabat PNB.

Diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di dunia yang menerima Pensijilan WELL Core Platinum, menara tersebut menyediakan asas kukuh bagi persekitaran kerja yang mengutamakan kesihatan, kesejahteraan dan kelestarian.

Piawaian WELL merupakan rangka kerja global yang merangkumi strategi berasaskan bukti bagi menyokong kesihatan organisasi dan warga kerja merentasi 10 komponen utama, termasuk udara, air, pemakanan, pencahayaan, pergerakan, keselesaan terma, bunyi, bahan, minda dan komuniti.

Bagi memperoleh Pensijilan WELL tahap Platinum, organisasi perlu memenuhi keperluan dokumentasi menyeluruh, menjalani ujian bebas di tapak serta pengesahan prestasi yang ketat bagi memastikan persekitaran kerja memenuhi standard kesihatan dan kesejahteraan yang boleh diukur.

Pensijilan tersebut mengukuhkan kedudukan PNB sebagai majikan yang mengutamakan kesejahteraan pekerja, di samping mengamalkan piawaian global dalam reka bentuk dan operasi tempat kerja.

Pada masa sama, ia menyerlahkan peranan PNB sebagai peneraju korporat dalam memperjuangkan persekitaran kerja mampan dan berteraskan insan, sekali gus menyokong peningkatan penglibatan pekerja, kerjasama serta produktiviti.

Langkah itu sejajar dengan agenda kelestarian dan pembangunan modal insan PNB, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat dalam memacu penciptaan nilai jangka panjang berasaskan kesejahteraan sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN