Pensyarah tinggal kerjaya, bina empayar makanan halal

Pensyarah tinggal kerjaya, bina empayar makanan halal

TAJUL Ariffin Abdullah memulakan Al Taj secara kecil-kecilan pada 2015.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN meninggalkan kerjaya stabil sebagai pensyarah universiti bukan sesuatu yang mudah, namun bagi Tajul Ariffin Abdullah, langkah berani itu menjadi asas kepada kejayaan membangunkan perniagaan makanan berasaskan konsep halalan toyyiban.

Anak kelahiran Tapah Road, Perak itu memiliki latar belakang akademik sehingga peringkat doktor falsafah (PhD) dan pernah berkhidmat sebagai penyelidik di SIRIM Berhad selama empat tahun.

Selepas itu, beliau meneruskan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 10 tahun dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selama 12 tahun.

“Minat saya terhadap dunia masakan ini dipupuk sejak kecil ketika membantu arwah ibu di dapur akhirnya membuka jalan baharu dalam kehidupan beliau.

“Minat itu lama-kelamaan menjadi satu passion, khususnya dalam penyediaan hidangan nasi berempah dan berlauk.

“Saya melihat makanan bukan sekadar untuk mengenyangkan, tetapi perlu berkhasiat dan boleh dinikmati semua golongan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Inspirasi untuk memulakan Al Taj perniagaan tercetus kira-kira 15 tahun lalu apabila beliau mendapati hidangan nasi Arab ketika itu dianggap eksklusif dan mahal untuk dinikmati oleh kebanyakan keluarga.

Menurutnya, harga hidangan tersebut boleh mencecah antara RM150 hingga RM200 untuk satu keluarga, sekali gus menghadkan akses kepada golongan tertentu.

“Dari situ saya terfikir ba­gaimana mahu menyediakan alternatif yang lebih mampu milik, tetapi masih mengekalkan rasa dan khasiatnya.

“Dengan produk Al Taj, se­buah keluarga kini boleh me­nikmati hidangan sama dengan kos kurang daripada RM50,” ujarnya.

Bermula dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pes nasi Arab sekitar 2014, beliau mengambil masa lebih setahun bagi memastikan formulasi produk menepati piawaian kualiti tanpa menjejaskan rasa.

“Pada peringkat awal, proses ini bukan mudah kerana kekangan sumber maklumat serta keperluan merujuk kepada pelbagai chef dan individu berpengalaman dalam masakan Asia Barat.

“Produk pertama kami ke­mudian dipasarkan secara kecil-kecilan dari rumah pada 2015 sebelum mendapat sambutan yang menggalakkan dan berkembang ke peringkat pengeluaran lebih besar dengan pembukaan kilang di Bangi.

“Bagaimanapun, pada Oktober 2017, kami telah berpindah ke Kilang Vendor di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub, Serkam, Melaka dan terus beroperasi di sana sehingga kini,” jelasnya.

Hari ini, syarikatnya, Al Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd., menghasilkan pelbagai produk termasuk sedia untuk dimasak (RTC), sedia untuk dimakan (RTE), pes masakan serta rempah perapan dengan hampir 50 unit stok simpanan (SKU).

Mengulas ca­ba­ran, Tajul Ariffin berkata, peralihan daripada dunia akademik ke bidang perniagaan memerlukan pengorbanan besar, khususnya dari segi masa, tenaga dan kestabilan pendapatan.

“Ketika mula berniaga, saya masih bekerja sepenuh masa. Ia memerlukan kekuatan mental, fizikal dan emosi untuk me­ngim­bangi kedua-duanya.

“Dalam perniagaan, tiada jaminan pendapatan bulanan seperti makan gaji. Kita sendiri perlu membina dan mengurus risiko,” katanya.

Beliau turut menegaskan pembangunan produk makanan merupakan satu proses yang kompleks dan sensitif kerana melibatkan aspek keselamatan, kebersihan serta ketahanan produk.

Katanya, setiap produk Al Taj melalui fasa penyelidikan yang panjang, ada kalanya mengambil masa lebih setahun dan melibatkan kos serta risiko kerugian sebelum berjaya dipasarkan.

Dalam memperkukuh jenama, beliau melihat pensijilan halal sebagai elemen kritikal yang tidak boleh dikompromi.

Syarikat memperoleh sijil halal pertama pada 2018 dan telah melalui empat kitaran pembaharuan sehingga kini. 

“Sijil halal bukan sekadar dokumen, tetapi satu amalan menyeluruh dalam operasi syarikat.

“Ia melibatkan pematuhan daripada sumber bahan mentah hingga ke proses pengeluaran bagi memastikan produk benar-benar menepati syariat.

“Syarikat kini dalam proses mendapatkan pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya serta Titik Kawalan Kritikal (HACCP) yang merupakan keperluan bagi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×