PETALING JAYA: Langkah kerajaan menerusi peruntukan bulanan sebanyak 800 liter menerusi BUDI95 bagi pemandu e-hailing penting dalam membantu mewujudkan ekosistem mobiliti yang lebih stabil dan berdaya.
Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, pengekalan peruntukan itu terus mencerminkan pengiktirafan terhadap realiti sebenar yang dihadapi oleh golongan pemandu berkenaan.
“Bahan api kekal sebagai antara kos operasi harian paling besar dan memberi kesan secara langsung kepada keupayaan mereka untuk menjana pendapatan secara mampan.
“Pengurusan kos bahan api yang cekap penting bagi menjamin pendapatan pemandu yang konsisten serta penyediaan perkhidmatan berterusan kepada penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azlan berkata, sokongan yang bermakna kepada kumpulan itu tidak seharusnya terhad kepada pengenalan dasar kerajaan semata-mata.
‘Inisiatif berkala seperti program insentif dan bantuan bahan api yang direka khusus dapat mengurus perbelanjaan operasi secara lebih berkesan.
“Hasil yang terbaik dapat dicapai apabila sokongan dasar yang disasarkan berjalan seiring dengan inisiatif yang diterajui industri,” katanya.
Beliau berkata, inDrive merupakan platform mobiliti dan penghantaran global yang diiktiraf sebagai aplikasi mobiliti kedua paling banyak dimuat turun bagi tahun keempat berturut-turut.
“Platform yang beroperasi di 1,065 bandar di 48 negara ini turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan antara bandar, penghantaran, dan perkhidmatan kewangan,” katanya. – UTUSAN










