Pelaksanaan biodiesel B15 positif untuk MSM - Utusan Malaysia

Pelaksanaan biodiesel B15 positif untuk MSM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Malaysia untuk meningkatkan mandat campuran biodiesel daripada B10 kepada B15, bermula dengan pelaksanaan awal B12, dijangka memberi kesan positif kepada sektor minyak sawit, namun impaknya dalam jangka pendek dilihat masih terhad.

Penganalisis CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang berkata, laporan menunjukkan program B10 menggunakan kira-kira 750,000 tan minyak sawit setahun apabila dilaksanakan sepenuhnya.

“Berdasarkan ini, pelaksanaan awal B12 dianggarkan meningkatkan penggunaan minyak sawit sebanyak 150,000 tan kepada 900,000 tan.

“Peningkatan ini adalah sederhana, hanya mewakili sekitar 0.7 peratus daripada pengeluaran minyak sawit Malaysia pada 2025.

“Oleh itu, walaupun peningkatan mandat biodiesel ini dilihat positif, ia tidak dijangka menjadi pemangkin besar dalam jangka pendek,” katanya dalam nota penyelidikan.

Semalam, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan susulan krisis di Asia Barat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah berkata, langkah ini tidak akan melibatkan kos tambahan kerana ia memanfaatkan infrastruktur pencampuran sedia ada, dengan program B10 ketika ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang mencukupi untuk kadar campuran lebih tinggi.

Keputusan ini dibuat susulan perbincangan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas untuk memanjangkan bekalan diesel domestik serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Sementara itu, Ivy berkata, walaupun langkah tersebut menyokong harga minyak sawit mentah (MSM) dari sudut sentimen, ia belum cukup signifikan untuk mengubah keseimbangan pasaran secara ketara dalam jangka pendek.

Katanya, kesan yang lebih bermakna dijangka hanya akan dilihat sekiranya mandat campuran ditingkatkan ke paras lebih tinggi seperti B15 hingga B30.

“Pada tahap tersebut, permintaan tambahan minyak sawit berpotensi meningkat antara 0.38 juta hingga 1.5 juta tan, bersamaan 1.8 peratus hingga 7.4 peratus daripada bekalan negara.

“Dalam masa sama, kapasiti pengeluaran biodiesel Malaysia yang dianggarkan sekitar 2.36 juta tan setahun memberikan ruang mencukupi untuk menyokong peningkatan mandat pada masa hadapan,” jelasnya.

Secara keseluruhan, beliau berkata, peningkatan mandat biodiesel ini dilihat sedikit positif kepada harga MSM serta syarikat perladangan bersepadu yang mempunyai pendedahan kepada biodiesel seperti Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), SD Guthrie dan Genting Plantations. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN