PETALING JAYA: Tenaga kerja di Malaysia kini lebih bimbang akan risiko kebergantungan melampau terhadap kecerdasan buatan (AI) yang boleh menumpulkan daya pemikiran mereka, berbanding ancaman kehilangan pekerjaan.
Dapatan terbaharu daripada kajian Milieu Insight terhadap 3,000 pekerja di Asia Tenggara mendedahkan, hampir separuh atau 49 peratus responden di Malaysia menyifatkan kebergantungan tinggi kepada AI sebagai kebimbangan utama mereka.
Angka itu jauh mengatasi kegusaran terhadap kehilangan mata pencarian yang hanya dicatatkan sebanyak 33 peratus dalam kalangan pekerja tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Milieu Insight, Sundip Chahal berkata, data ini mencabar naratif popular yang sering mengaitkan AI dengan penggantian tenaga kerja manusia secara keseluruhan.
“Pekerja di Malaysia dan rantau ini sebenarnya tidak menolak AI, tetapi mereka risau jika teknologi ini menghakis pertimbangan profesional, kreativiti, dan autonomi mereka di tempat kerja.
“Isu sebenarnya adalah sama ada organisasi menyediakan ‘pagar’ dan latihan yang betul agar manusia tetap memegang kendali,” katanya dalam kenyataan.
Secara keseluruhan di peringkat serantau, sebanyak 53 peratus responden berkongsi kebimbangan yang sama mengenai kebergantungan AI, diikuti isu privasi (40 peratus) dan kehilangan kerja (34 peratus).
Meskipun kebimbangan mengenai perpindahan jawatan tetap wujud terutamanya di Filipina yang mencatatkan 42 peratus pekerja Malaysia dilihat lebih fokus kepada usaha mengekalkan keupayaan intelek mereka sendiri daripada dibayangi oleh mesin.
Kajian itu turut mendedahkan jurang kesediaan yang ketara di Malaysia, di mana hanya 12 peratus responden merasakan organisasi mereka ‘sangat bersedia’ dengan strategi dan latihan AI yang jelas.
Sebaliknya, sebanyak 42 peratus pekerja tempatan masih bimbang tentang aspek keselamatan data dan privasi dalam penggunaan teknologi tersebut.
Walaupun wujud kebimbangan, sebanyak 51 peratus pekerja di rantau ini tetap melihat sisi positif AI dalam membantu menjimatkan masa bagi tugasan rutin, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan kepada tanggungjawab yang lebih bernilai tinggi.
Vietnam muncul sebagai negara paling optimis terhadap masa depan AI (66 peratus), manakala Singapura mencatatkan kadar pesimisme tertinggi (15 peratus) berbanding negara jiran yang lain. – UTUSAN










