Malaysia kembali tersenarai 25 negara terbaik Indeks Keyakinan FDI

Malaysia kembali tersenarai 25 negara terbaik Indeks Keyakinan FDI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan pencapaian membanggakan apabila kembali disenaraikan dalam kelompok 25 negara teratas Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDICI) 2026 selepas tempoh 12 tahun.

Berdasarkan laporan terbaharu Kearney’s Global Business Policy Council, Malaysia kini menduduki tempat ke-21 dalam indeks tinjauan tahunan tersebut, menandakan kepulangan semula negara ke dalam senarai elit itu buat kali pertama sejak 2014.

Pengerusi Rantau Asia Pasifik Kearney, Shigeru Sekinada berkata, rantau Asia Pasifik (APAC) kini muncul sebagai destinasi pilihan utama apabila pelabur mula mengkalibrasi semula keputusan mereka dalam persekitaran operasi global yang lebih mencabar.

“Keupayaan teknologi, potensi pertumbuhan ekonomi dan kerelevanan geopolitik yang ditawarkan oleh pasaran APAC terkemuka menjadikan mereka destinasi FDI pilihan komuniti perniagaan global yang prihatin terhadap kerumitan risiko yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Tinjauan yang dijalankan pada Januari 2026 dalam kalangan lebih 500 eksekutif kanan syarikat terkemuka dunia itu menunjukkan 88 peratus responden merancang untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Selain Malaysia, Thailand turut kembali ke dalam senarai 25 teratas dengan menduduki tempat ke-20, manakala Singapura (kelapan), Korea Selatan (ke-11) dan India (ke-22) terus memperkukuh kedudukan rantau ini.

Amerika Syarikat dan Kanada mengekalkan kedudukan pertama dan kedua, sementara Jepun naik ke tempat ketiga diikuti China di tempat keempat.

Dalam segmen Indeks Pasaran Baharu Muncul, China kekal di tempat teratas untuk tahun ketiga berturut-turut, manakala Thailand dan Malaysia masing-masing menduduki tempat keenam dan ketujuh.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa dasar perindustrian memainkan peranan yang semakin kritikal dalam membentuk keputusan pelaburan, dengan 84 peratus pelabur dunia menyifatkan faktor itu sebagai sangat penting dalam menentukan lokasi pelaburan mereka.

Walaupun hasrat pelaburan kekal kukuh, para eksekutif kekal berwaspada terhadap peningkatan risiko global termasuk ketegangan geopolitik (36 peratus), kenaikan harga komoditi serta ketidakstabilan politik di pasaran maju (30 peratus).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN