PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, berjaya mengumpulkan kira-kira 1,065 kilogram (kg) tekstil dan pakaian terpakai dalam tempoh seminggu menerusi Kempen Kesedaran Penjagaan Alam Sekitar yang dilaksanakan baru-baru ini.
Inisiatif yang berlangsung dari 12 hingga 18 Mac itu merupakan sebahagian daripada langkah berani syarikat dalam memacu agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tata Urus (ESG) 2026 dengan mentransformasikan sisa harian kepada impak sosial yang bermakna.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Md Derick Basir berkata, perjalanan ESG syarikat bukan sekadar untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, tetapi lebih kepada penciptaan impak yang memberi kesan kepada komuniti dan alam sekitar.
“Inisiatif ini menunjukkan bagaimana tindakan mudah secara kolektif dapat mengurangkan beban alam sekitar. Ia mencerminkan jati diri organisasi kami iaitu bertanggungjawab, prihatin dan berpandangan jauh,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi kempen tersebut, pakaian yang masih elok akan disalurkan kepada golongan memerlukan, manakala bahan yang tidak lagi boleh dipakai akan dikitar semula menjadi produk perindustrian seperti kain pengelap industri dan bahan api diproses.
Langkah itu dilakukan dengan kerjasama syarikat sosial, Kloth Malaysia bagi memastikan proses pengasingan dan kitar semula fabrik diuruskan secara terancang di kilang khusus yang terletak di Port Klang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MMC Port Holdings Berhad, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam menyatupadukan prinsip ESG dalam setiap aspek operasi pelabuhan.
“Ia sekali gus memupuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif buat semua pihak yang terlibat dalam ekosistem pelabuhan kami,” jelas beliau.
Kejayaan mengumpul lebih satu tan sisa tekstil ini membuktikan komitmen Johor Port dalam membina ekonomi kitaran, di mana sisa tidak lagi dianggap sebagai bahan buangan, sebaliknya sebagai sumber yang mempunyai nilai baharu. – UTUSAN










