Inspace Creation sasar raih RM17.13 juta melalui IPO

Inspace Creation sasar raih RM17.13 juta melalui IPO

WONG Chong Siong (dua dari kiri) semasa majlis pelancaran Prospektus Inspace Creation di EQ Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Inspace Creation Berhad (Inspace Creation) melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad, dengan sasaran meraih dana sebanyak RM17.13 juta.

Syarikat yang dijadualkan tersenarai pada 8 Mei 2026 itu akan menerbitkan 68.50 juta saham baharu pada harga terbitan 25 sen sesaham.

Pengarah Eksekutifnya, Wong Chong Siong berkata, IPO itu akan mengukuhkan keupayaan operasi termasuk membangunkan kemudahan penyimpanan serta ruang ‘mock-up’ khusus bagi meningkatkan kecekapan perolehan dan pembentangan reka bentuk.

“Status penyenaraian juga akan dimanfaatkan bagi meningkatkan pengiktirafan, sekali gus membolehkan syarikat memperoleh projek komersial lebih besar serta mengembangkan operasi ke pasaran serantau di luar Lembah Klang.

“Kami kekal komited menyediakan penyelesaian ruang kerja berkualiti dan inovatif yang mencipta nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan,” katanya pada majlis pelancaran prospektus tersebut di sini, semalam.

Daripada jumlah kutipan IPO, sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan modal termasuk penyediaan ruang penyimpanan dan ‘mock-up’ serta peningkatan kapasiti kumpulan.

Selain itu, RM4.39 juta diperuntukkan sebagai modal kerja bagi membiayai pembelian bahan, bayaran subkontraktor serta perbelanjaan operasi dan pentadbiran, manakala RM2.74 juta pula digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan baki RM4 juta bagi menampung kos penyenaraian.

Permohonan bagi tawaran awam dibuka hari ini dan akan ditutup pada 22 April 2026.

Selepas penyenaraian, Inspace Creation dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM92.33 juta berdasarkan harga IPO 25 sen sesaham serta modal saham terbitan diperbesar sebanyak 369.30 juta saham.

Mengulas lanjut mengenai kesan ketidaktentuan pasaran semasa akibat ketegangan geopolitik global, beliau berkata, syarikat ketika ini tidak merasai kesan yang ketara.

“Inspace Creation memberi tumpuan kepada ruang pejabat komersial dan meskipun kitaran ekonomi memberi sedikit kesan, pengalaman ketika pandemik membuktikan daya tahan syarikat.

“Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami masih aktif membuat ‘pitching’ dan berjaya mendapatkan projek. 

“Ketika itu, ada syarikat yang mengecilkan saiz pejabat, sekali gus memerlukan perkhidmatan ubah suai dan kontraktor, manakala sektor lain seperti logistik pula berkembang pesat dan memerlukan khidmat kami,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan syarikat tidak melaksanakan pemotongan gaji pekerja, sebaliknya pasukan terus berusaha gigih mendapatkan projek.

Menurutnya, ia sekali gus mencerminkan keupayaan syarikat berdepan cabaran ekonomi selagi aktiviti komersial masih berjalan.

“Bagi kami, ia bukan semata-mata dalam bidang pembinaan. Bahan yang digunakan juga dipelbagaikan tanpa terlalu bergantung kepada satu jenis bahan. 

“Kerja-kerja pengubahsuaian dalaman melibatkan komponen kos yang kecil merentasi pelbagai bidang kerja.

“Sekiranya berlaku kenaikan ketara kos bahan, pasukan reka bentuk dan teknikal dalaman syarikat akan melaksanakan kejuruteraan nilai (value engineering) bagi menyesuaikan spesifikasi bahan mengikut bajet pelanggan, sekali gus menjadikan syarikat lebih fleksibel berbanding kontraktor tender biasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN