Inflasi mereda kepada 1.4 peratus pada 2025 - Utusan Malaysia

Inflasi mereda kepada 1.4 peratus pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi Malaysia mereda kepada 1.4 peratus pada tahun 2025 dengan mata indeks meningkat kepada 134.6 daripada 132.8 pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ini disokong oleh pengukuhan mata wang tempatan, perbelanjaan isi rumah yang kukuh serta inisiatif kerajaan untuk menyalurkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat Malaysia, sedikit sebanyak mengekang inflasi Malaysia daripada terus meningkat tinggi.

Kadar ini berada di dalam julat unjuran inflasi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) iaitu antara 1.0 hingga 2.0 peratus pada tahun 2025.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi 2025 didorong terutamanya oleh peningkatan dalam kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.6 peratus), diikuti kesihatan (1.2 peratus), rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.1 peratus), pengangkutan (0.4 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.2 peratus).

“Namun, kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan mencatatkan kenaikan lebih tinggi iaitu 4.4 peratus berbanding 3.0 peratus pada 2024,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, insurans dan perkhidmatan kewangan meningkat kepada 3.4 peratus berbanding 0.3 peratus pada 2024, diikuti restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus), pendidikan (2.3 peratus), makanan dan minuman (2.1 peratus) serta minuman alkohol dan tembakau (0.9 peratus).

“Sebaliknya, maklumat dan komunikasi serta pakaian dan kasut masing-masing merekodkan penurunan kepada negatif 4.3 peratus dan negatif 0.2 peratus,” katanya.

Inflasi tertinggi dicatatkan pada Januari 2025 sebanyak 1.7 peratus sebelum menyederhana kepada 1.1 peratus pada Jun 2025,didorong oleh kenaikan lebih perlahan dalam kumpulan makanan dam minuman serta perumahan.

Bagaimanapun, trend inflasi kembali meningkat pada separuh kedua tahun tersebut.

Mengulas prestasi negeri, Mohd. Uzir berkata, empat negeri mencatatkan inflasi melebihi paras nasional 1.4 peratus iaitu Johor (2.0 peratus), Selangor (1.7 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus) dan Melaka (1.5 peratus), manakala Kelantan merekodkan kadar terendah sebanyak 0.3 peratus.

“Hampir semua negeri mencatatkan peningkatan inflasi bagi kumpulan makanan dan minuman dengan Negeri Sembilan merekodkan kadar tertinggi 3.2 peratus.

“Ini diikuti oleh Selangor (2.8 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7 peratus), manakala Johor, Melaka, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing merekodkan peningkatan 2.4 peratus.

“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi kumpulan makanan dan minuman nasional, 2.1 peratus pada 2025,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN