Harga minyak mentah boleh cecah kepada AS$200 setong

Harga minyak mentah boleh cecah kepada AS$200 setong

JARAND RYSTARD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah global berpotensi mencecah AS$200 (RM820) setong dalam tempoh terdekat sekiranya ketegangan geopolitik di Asia Barat terus berlarutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rystard Energy, Jarand Rystad berkata, keseimbangan harga bagi suku kedua tahun ini akan kekal tinggi, namun masih bergantung kepada perkembangan konflik semasa. 

Katanya, terdapat harapan gencatan senjata dapat dicapai seawal minggu kedua April, yang boleh membantu menstabilkan pasaran tenaga global.

“Sekiranya gencatan senjata berjaya dicapai, harga minyak dijangka kekal tinggi sepanjang suku kedua sebelum beransur-ansur menurun ke sekitar AS$80 (RM322) setong menjelang suku ketiga dan keempat tahun ini.

“Namun begitu, risiko peningkatan konflik tidak boleh diketepikan. Dalam senario terburuk, harga minyak boleh melonjak secara mendadak sehingga mencecah AS$200 (RM820) setong. 

“Keadaan ini berpotensi memaksa pengurangan permintaan global sehingga 10 juta tong sehari, satu tahap yang setara dengan kejatuhan permintaan semasa pandemik Covid-19,” katanya dalam taklimat media mengenai memajukan tanggungjawab tenaga luar pesisir di Asia sempena Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Jarand berkata, bagi mencapai pengurangan permintaan sebesar itu, harga minyak perlu berada pada paras yang sangat tinggi sehingga memberi kesan besar kepada aktiviti ekonomi global.

“Dalam pada itu, terdapat kemungkinan perubahan dinamik geopolitik, termasuk peranan Iran dalam mengawal laluan bekalan tenaga. 

“Situasi ini boleh memberi kelebihan kepada negara tertentu, namun pada masa sama menimbulkan cabaran besar kepada kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS),” katanya. 

Secara keseluruhannya, beliau berkata, prospek pasaran minyak kekal tidak menentu dengan risiko ketara bergantung kepada perkembangan konflik dan kestabilan geopolitik dalam tempoh terdekat.

Persidangan OTC selama tiga hari melibatkan program yang komprehensif dan pelbagai, merangkumi keseluruhan rantaian nilai luar pesisir dan tenaga, serta meneroka tema-tema penting yang membentuk masa depan tenaga luar pesisir. 

Lebih 400 pemimpin, pakar industri dan penceramah dari seluruh dunia

Terdapat lebih 70 sesi persidangan dengan lebih 200 pembentangan teknikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN