JENAMA GAC AION merupakan divisyen kenderaan elektrik di bawah GAC Group, dan di Malaysia ia diedarkan oleh WTC Automotif. Nama ini mungkin belum benar-benar arus perdana di sini, namun di China, AION berada dalam kelompok pengeluar kenderaan elektrik (EV) utama dan pernah berada dalam kelompok 10 teratas dari segi jualan.
Model AION Y Plus pula bukanlah pemain baharu. Ia diperkenalkan di China sekitar 2022 sebelum dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada Mei 2024 sempena Malaysia Autoshow. Untuk pasaran tempatan, ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Elite dan Premium.
Sebagai sebuah crossover kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B, AION Y Plus memberi penekanan kepada ruang kabin yang luas serta penggunaan harian yang praktikal, berbanding pendekatan SUV konvensional yang lebih menonjolkan gaya dan ketinggian.
Apa yang menjadikannya menarik pada masa ini ialah nilai pasaran, dengan rebat agresif sehingga RM41,000, yang meletakkannya antara EV paling mudah diakses dalam julat harga bawah RM140,000. Bagi pembeli yang mahukan sebuah EV tanpa komitmen bayaran muka, insentif ini memberikan kelebihan yang signifikan dalam pasaran semasa.
Rekaan luaran yang praktikal mengatasi gaya
Bahagian hadapan menampilkan identiti EV moden dengan rekaan minimalis. Lampu utama LED menggunakan signature ‘Angel Wing’, memberikan elemen futuristik tanpa kelihatan terlalu agresif.
Seperti kebanyakan EV, tiada gril tradisional digunakan. Permukaan hadapan tampil bersih, dengan hanya bukaan udara kecil di bahagian bawah untuk keperluan penyejukan. Cermin hadapan yang besar turut menyumbang kepada visual yang baik.
Walaupun berada dalam kategori crossover SUV segmen B, ketinggian serta rekaan keseluruhan tidak memberikan imej SUV konvensional.
Dari sisi, AION Y Plus menampilkan bentuk badan yang agak unik, dengan rekaan bumbung yang hampir rata dan garis badan yang tegak. Pendekatan ini menjadikannya kelihatan seperti gabungan hatchback tinggi dan kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak.
Dengan jarak roda sepanjang 2,750 milimeter (mm), ia sebenarnya melebihi Honda Civic generasi ke-11, menjelaskan mengapa ruang kabinnya terasa lebih luas daripada jangkaan. Malah bukaan pintu belakang hampir 90 darjah, mudah akses barang, kerusi keselamatan bayi dan penumpang warga emas, kedudukan kerusi pula tidak terlalu rendah dan terlalu tinggi.
Rim bersaiz 18 inci melengkapkan penampilan, manakala port pengecasan ditempatkan di bahagian hadapan kiri.
Di belakang, rekaan kekal ringkas tetapi moden. Lampu LED melintang penuh atau ‘Skyline Connected Tail Light’ memberikan ilusi lebar dan identiti visual yang jelas.
Pintu belakang yang hampir tegak memberi tumpuan kepada aspek praktikal dan memudahkan urusan memuatkan barangan.

Ruang dalaman pula minimalis dengan fokus ruang
Seperti kebanyakan EV dari China, kabin AION Y Plus mengamalkan pendekatan minimalis. Skrin infotainmen bersaiz 14.6 inci menjadi pusat kawalan utama, disokong oleh kluster digital 10.25 inci.
Dari segi kelengkapan, varian Premium menawarkan ciri seperti kerusi berpengudaraan serta pelbagai pilihan warna dalaman.
Dari segi pengalaman pengguna, antara muka infotainmen memerlukan sedikit tempoh adaptasi, khususnya dari segi susun atur menu dan terjemahan fungsi. Penggunaan bahasa Inggeris yang tidak sepenuhnya mengikut standard sistem infotainmen moden menyebabkan beberapa istilah kelihatan janggal, seolah-olah diterjemah secara langsung tanpa penyesuaian konteks.
Ruang kargo belakang menawarkan kapasiti 405 liter, lengkap dengan pintu tailgate berkuasa. Dengan tempat duduk belakang dilipat, ruang boleh diperluas dengan ketara, sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan jauh.
AION Y Plus menggunakan bateri jenis LFP yang dikenali sebagai “Magazine Battery 2.0” dengan kapasiti 63.2 kilowatt jam (kWh).
Jarak pemanduan sekitar 490 kilometer (km) mengikut kitaran NEDC, manakala anggaran lebih realistik sekitar 430 km berdasarkan WLTP.
Dari segi pengecasan, ia menyokong arus ulang-alik (AC) sehingga 6.6 kW yang mengambil masa sekitar sembilan jam untuk pengecasan penuh. Untuk arus terus (DC), kadar maksimum 80 kW membolehkan pengecasan 20 hingga 80 peratus dalam kira-kira 40 minit.
Secara keseluruhan, spesifikasi ini berada pada tahap sederhana untuk standard semasa, namun masih sesuai untuk kegunaan harian.

Prestasi dan pengalaman pemanduan
Motor elektrik menghasilkan sekitar 150 kW bersamaan kira-kira 201 hp dan 225 Nm tork. Pecutan sifar hingga 100 km sejam dicapai dalam anggaran 8.5 saat.
WTC Automotif telah memberi peluang kepada penulis untuk menguji AION Y Plus selama lima hari, memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap karakter pemanduan dalam penggunaan sebenar.
Di China, AION Y Plus menyasarkan pembeli daripada golongan generasi Z dan pengguna EV kali pertama dalam kelompok pendapatan sederhana. Pada masa yang sama, model ini turut menjadi pilihan utama dalam kalangan pengendali e-hailing, didorong oleh kos operasi yang rendah serta tahap ketahanan yang tinggi.
Walaupun angka ini tidak menonjol, karakter pemanduan sebenar lebih kepada kelancaran dan respons segera tipikal EV. Tindak balas pedal adalah baik tanpa rasa lengah, menjadikannya sesuai untuk pemanduan bandar.
Fungsi i-Pedal, atau lebih dikenali sebagai single pedal driving, membolehkan kenderaan diperlahankan hanya dengan melepaskan pedal pendikit, sambil menukar tenaga kinetik kepada tenaga elektrik untuk mengecas semula bateri. Sistem ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan tenaga dan menambah jarak perjalanan, malah mengurangkan kebergantungan kepada brek konvensional dalam pemanduan harian.
Namun begitu, tahap regenerative braking yang lebih agresif boleh menyebabkan pergerakan kenderaan terasa sedikit tersentak, terutamanya dalam situasi trafik perlahan. Dalam jangka masa panjang, karakter pemanduan seperti ini berpotensi menimbulkan rasa kurang selesa kepada penumpang, termasuk simptom mabuk perjalanan jika tidak dibiasakan.
Terdapat beberapa mod pemanduan termasuk i-Pedal, Eco, Normal dan Sport, memberikan fleksibiliti kepada pemandu mengikut situasi. Sepanjang tempoh pemanduan, penulis lebih cenderung memilih mod Normal kerana ia menawarkan keseimbangan terbaik antara respons dan keselesaan untuk kegunaan harian.
Jika dibandingkan dengan Proton e.MAS 7, model tersebut menawarkan kuasa dan tork yang lebih tinggi, namun AION Y Plus jelas menumpukan kepada keselesaan dan penggunaan harian.
Nilai dalam pasaran semasa
Pada harga rasmi sekitar RM136,000, AION Y Plus menjadi jauh lebih menarik apabila mengambil kira rebat yang ditawarkan, menjadikan harga efektif sekitar RM95,000. Jika ditambah kos insurans, jumlah keseluruhan dianggarkan sekitar RM99,000, dengan komitmen bayaran bulanan dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,100 bergantung kepada pakej pembiayaan.
Dalam konteks ini, ia bukan sekadar EV mampu milik, tetapi satu pakej yang menekankan ruang, keselesaan serta kos pemilikan yang rendah untuk kegunaan harian.
AION Y Plus mungkin bukan pilihan untuk mereka yang mencari prestasi atau teknologi infotainmen terbaik, tetapi bagi pengguna yang mahukan EV praktikal untuk kegunaan harian dengan nilai yang tinggi, ia merupakan antara pilihan paling rasional di pasaran ketika ini. – UTUSAN










