Big Caring perkenal pusat pengedaran automatik di Klang - Utusan Malaysia

Big Caring perkenal pusat pengedaran automatik di Klang

LIM Sin Yin (tengah) bersama pengurusan BIG CARING pada Majlis Pengenalan Pusat Pengedaran Baharu di Klang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Big Caring Group memperkenalkan pusat pengedaran baharu beserta ibu pejabat korporat di Klang sekali gus memperkukuh model operasi dan keupayaan rantaian bekalannya melalui inovasi.

Rangkaian farmasi terbesar itu kini mengendalikan lebih 600 cawangan di seluruh negara menerusi pelbagai jenamanya yang terdiri daripada BIG, Caring, Georgetown, Ting dan Wellings.

Pengarah Eksekutif Big Caring Group, Lim Sin Yin berkata, pelaburan strategik terhadap pusat pengedaran berasaskan automasi tersebut telah didorong oleh pengajaran sepanjang pandemik Covid-19.

Menurutnya, permintaan yang tidak menentu serta tekanan besar ke atas rantaian bekalan ketika fasa itu menunjukkan model operasi tradisional dan kecekapan semata-mata tidak lagi mencukupi.

“Big Caring Group turut berhubung dengan lebih 5,000 titik sentuh bersama rakan penjagaan kesihatan yang merangkumi rangkaian hospital, klinik dan pusat fisioterapi.

“Kumpulan kini menguruskan purata pergerakan melebihi 90,000 barisan pesanan setiap hari di pusat pengedaran” katanya pada Majlis Pengenalan Pusat Pengedaran Baharu di sini semalam.

Beliau berkata, Big Caring Group beroperasi dalam satu ekosistem yang memerlukan darjah keterlihatan, keanjalan dan keupayaan yang tinggi.

“Sistem kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk menyokong perancangan, automasi membolehkan kelancaran pelaksanaan manakala tenaga kerja manusia kekal bertindak sebagai nadi dalam proses membuat keputusan.

“Pada skala ini, kecekapan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keupayaan dan tanggungjawab yang harus kami laksanakan setiap hari,” katanya.

Menurutnya, fasiliti di peringkat huluan telah dilengkapi sistem pengisian semula berlandaskan AI.

“Sistem kepintaran pintar ini menganalisis corak jualan pada masa nyata dan menjangka corak permintaan yang berubah mengikut lokasi bagi memastikan pengoptimuman inventori yang lebih berdaya ramal dan proaktif.

“Di peringkat hiliran pula, pusat ini mempraktikkan gabungan penyelesaian mengikut profil inventori.

“Sistem Tote-to-Person digunakan untuk barangan yang mencatatkan frekuensi permintaan rendah, selain sistem berkelajuan tinggi Shelf-to-Person bagi barangan berpermintaan tinggi terutamanya produk ubat-ubatan,” ujarnya.

Sin Yin berkata, lebih 160 robot dan 700 rak beroperasi dalam satu sistem diselaraskan bagi memanfaatkan penggunaan ruang menegak secara optimum dan penyimpanan berkepadatan tinggi.

“Transformasi ini menyaksikan tahap kecekapan pengambilan barangan melonjak ketara sebanyak 76.5 peratus dengan kadar ketepatan pengambilan barangan mencapai 99.8 peratus sejak ia dilaksanakan.

“Pendekatan efisien “barangan dihantar terus kepada pekerja” ini membolehkan pergerakan manual dikurangkan sekali gus meringankan beban kerja fizikal pasukan gudang.

“Transformasi cara bekerja ini meletakkan kakitangan pada posisi yang lebih selesa untuk mengendalikan lonjakan jumlah pesanan secara konsisten,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN