PETALING JAYA: Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$126.61 bilion, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$69.0 bilion pada akhir Mac 2026.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah AS$9.9 bilion.
“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil antara bank BNM dalam mata wang asing.
“Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$23.2 bilion pada akhir Mac 2026, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.
“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek,” katanya menurut kenyataan.
BNM berkata, unjuran aliran masuk mata wang asing ini berjumlah AS$3.01 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.
“Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontinjensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$846.4 juta,” katanya.
Rizab antarabangsa Malaysia tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai
kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
BNM berkata, pihaknya juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.
Secara keseluruhan, Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain.
Butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Mac 2026 tetap boleh guna. – UTUSAN










