PETALING JAYA: Kumpulan AmBank menegaskan komitmen berterusannya untuk menyokong pelanggan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi semasa, termasuk perkembangan di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada kestabilan kewangan global.
Ambank berkata, pihaknya memahami tekanan kewangan yang mungkin dihadapi oleh individu serta perniagaan akibat faktor luaran yang tidak menentu.
“Sehubungan itu, AmBank bersedia menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada pelanggan yang memerlukan, termasuk pengaturan pembayaran balik serta penyelesaian kewangan tersuai.
“Langkah ini bertujuan membantu pelanggan mengurus tekanan kewangan jangka pendek tanpa menjejaskan kesejahteraan kewangan mereka dalam jangka panjang.
“Pelanggan yang terjejas digalakkan untuk mendapatkan bantuan melalui saluran sokongan sedia ada, termasuk Program Pemulihan di https://www.ambank.com.my/repayment-assistance/remedial-programme,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, pelanggan juga boleh berhubung terus dengan pengurus perhubungan masing-masing, mengunjungi mana-mana cawangan AmBank atau menghubungi Pusat Perhubungan AmBank yang beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11 malam.
Kumpulan AmBank berkata, pihaknya kekal komited dalam memastikan pelanggan terus disokong dan keperluan kewangan mereka dipenuhi, walaupun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar. – UTUSAN










