ACO terima pengiktirafan ASEAN, perkukuh peranan koperasi peringkat serantau

ACO terima pengiktirafan ASEAN, perkukuh peranan koperasi peringkat serantau

Abdul Fattah Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASEAN Co-operative Organization (ACO) telah diiktiraf secara rasmi oleh Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) sebagai entiti bersekutu, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam kerjasama serantau.

Pengiktirafan itu diterima menerusi surat rasmi daripada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn kepada Presiden ACO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah yang menyatakan bahawa permohonan ACO telah diluluskan oleh Negara-Negara Anggota ASEAN.

ACO kini tersenarai dalam Lampiran 2 Piagam ASEAN di bawah kategori “Civil Society Organisations”.

“Status sebagai entiti berakreditasi ASEAN ini membolehkan ACO menikmati pelbagai keistimewaan serta memainkan peranan yang lebih signifikan dalam ekosistem serantau, selaras dengan Peraturan dan Kriteria Penglibatan Entiti Bersekutu ASEAN.

“Pada masa yang sama, ACO turut terikat dengan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan penglibatan yang berkesan, tersusun dan berimpak tinggi dalam menyokong agenda ASEAN. Pengiktirafan ini disifatkan sebagai satu pencapaian bersejarah kepada gerakan koperasi di rantau Asia Tenggara.

“Ia juga merupakan manifestasi daripada komitmen dan sokongan Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim susulan resolusi dan agenda yang dibincangkan dalam Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 yang diadakan pada 26 Julai 2024.

“Ia juga dilihat bakal membuka ruang lebih luas kepada koperasi untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai inisiatif dan platform ASEAN, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama serantau, memperluas akses pasaran serta meningkatkan daya saing koperasi di peringkat antarabangsa.

“ACO menyambut baik dan berbangga dengan pengiktirafan rasmi yang diberikan oleh ASEAN. Ia bukan sahaja mencerminkan kepercayaan ASEAN terhadap peranan koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi inklusif, malah turut mengiktiraf sumbangan sektor ini dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat,” kata Abdul Fattah dalam kenyataan.

ASEAN Co-operative Organization (ACO) ditubuhkan pada 6 Disember 1977 melalui deklarasi bersama badan koperasi induk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, dan Singapura.

Usaha mendapatkan pengiktirafan rasmi bermula sejak pejabat sekretariat berpindah ke Malaysia pada 2014.

Di bawah kepimpinan Presiden ANGKASA merangkap Presiden ACO,  Dr. Abdul Fattah, ACO giat menjalankan pelbagai misi diplomatik yang melibatkan gerak kerja advokasi dan promosi gerakan koperasi di peringkat ASEAN.

ACO yang kini bergerak di bawah naungan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah menganjurkan program berskala besar seperti ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD 2025) dan ASEAN Cooperatives Networking 2025 (ACN2025) untuk meningkatkan keterlihatan dan profil gerakan koperasi di rantau ini.

Dengan kekuatan lebih 715,000 koperasi di ASEAN, gerakan koperasi diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang seimbang dan mampan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN