PETALING JAYA: Rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dalam penggunaan bahan api memandangkan permintaan terhadap produk tersebut melebihi daripada penawaran, susulan kenyataan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bahawa 40 peratus keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kebimbangan yang perlu diambil kira adalah stok petroleum boleh berkurangan dalam kadar segera.
“Justeru, terdapat kewajaran untuk melaksanakan langkah penjimatan penggunaan petroleum. Kerajaan perlu menerangkan kepada rakyat terutamanya majikan swasta berkenaan signifikan bekerja dari rumah (BDR) dan bagaimana ia boleh membantu meningkatkan tempoh bekalan bahan api.
“Ini kerana risiko ketidakcukupan bekalan adalah risiko yang bersifat sistematik. Maksudnya, ia boleh memberi kesan kepada semua jika ia berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Petronas dalam kenyataan menyatakan mereka terus memantau rapi bekalan bahan api negara bagi membantu memastikan kestabilan di seluruh negara susulan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat.
Katanya, hampir 40 peratus keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz.
Petronas berkata, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, negara ini tidak sepenuhnya terlindung daripada kesan krisis tersebut dan harga minyak mentah telah meningkat hampir 40 peratus sejak krisis bermula.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa harga RON95 akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter bagi BUDI95 untuk tempoh yang seberapa lama yang mampu.
Katanya, perkembangan terkini juga menunjukkan Iran memberi kebenaran kepada kapal-kapal Malaysia untuk melalui Selat Hormuz dengan selamat, manakala Israel dilihat tidak berminat untuk menyerang laluan strategik tersebut yang juga penting bagi mereka.
“Walaupun hampir 40 peratus minyak mentah negara melalui Selat Hormuz, Malaysia masih mempunyai pengeluaran minyak sendiri serta keupayaan untuk membuat pertukaran bekalan dengan negara lain.
“Oleh itu, Malaysia tidak perlu terlalu bimbang terhadap bekalan minyak, walaupun konflik berterusan dan harga Brent berpotensi meningkat sehingga sekitar AS$100 (RM404) setong dalam tempoh setahun,” ujarnya.
Namun begitu, beliau berkata, kebimbangan utama adalah terhadap kenaikan harga barangan.
“Malaysia mengimport kira-kira RM100 bilion barangan makanan setiap tahun dan keadaan ini boleh menyebabkan harga barangan meningkat antara 20 peratus hingga 35 peratus dalam tempoh enam bulan.
“Pada masa sama, kos operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga dijangka meningkat sehingga 30 peratus. Sektor pertanian juga dijangka terkesan berikutan kenaikan harga baja, yang turut dipengaruhi oleh tekanan kos global,” ujarnya.
Bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, beliau mencadangkan agar penggunaan bahan api dapat dijimatkan, termasuk mempertimbangkan pelaksanaan BDR sekurang-kurangnya satu hingga dua hari seminggu.
“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan petrol, malah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas,” jelasnya. – UTUSAN










