PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) mencatatkan pendapatan RM1.9 bilion dalam separuh pertama tahun kewangan 2026, mencerminkan pemulihan pasaran yang semakin mengukuh disokong peningkatan permintaan global terhadap sarung tangan.
Jumlah jualan kumpulan meningkat sebanyak 36 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menandakan momentum pemulihan industri yang berterusan.
Pendapatan jualan itu turut mencatatkan peningkatan tujuh peratus tahun ke tahun, memperlihatkan pengukuhan asas perniagaan syarikat dalam persekitaran operasi yang mencabar.
Selain itu, Untung Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) berjumlah RM69 juta, melonjak 92 peratus berbanding separuh pertama tahun kewangan 2025.
Bagi suku kedua tahun kewangan 2026, Top Glove mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM1 bilion, meningkat 14 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Jumlah jualan bagi suku berkenaan turut meningkat 57 peratus berbanding suku kedua tahun kewangan 2025 dan 23 peratus berbanding suku pertama tahun kewangan 2026.
Dalam tempoh sama, PATAMI mencatatkan RM31 juta, meningkat tiga peratus, namun tanpa mengambil kira kesan pertukaran mata wang, keuntungan sebenar dianggarkan hampir dua kali ganda.
Prestasi berkenaan didorong oleh momentum tempahan jualan yang semakin kukuh merentasi kebanyakan rantau utama dengan Eropah muncul sebagai pemacu utama apabila jualan melonjak dengan ketara, mencerminkan kejayaan kumpulan meraih semula bahagian pasaran serta mengekalkan keyakinan pelanggan.
Top Glove berkata, kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi sebanyak 89 peratus turut menyokong kecekapan kos dan peningkatan produktiviti.
Bagaimanapun, prestasi keseluruhan dipengaruhi oleh penyusutan mendadak nilai dolar Amerika Syarikat (AS) bermula pertengahan suku kedua.
“Walaupun kumpulan mengamalkan dasar lindung nilai yang berhemat dan konsisten, pergerakan mata wang yang ketara dan tidak dijangka mengehadkan keupayaan untuk mengimbangi sepenuhnya kesan itu.
“Pada masa sama, harga bahan mentah menunjukkan penurunan berbanding suku pertama, dengan harga lateks getah asli pekat dan lateks nitril masing-masing menyusut sebanyak tiga peratus dan dua peratus,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan, berkata kumpulan meraih momentum dengan pertumbuhan jualan yang kukuh, didorong peningkatan permintaan sarung tangan serta keberkesanan disiplin operasi.
Katanya, walaupun prestasi diimbangi tekanan pertukaran asing, usaha berterusan dalam memastikan kualiti, kecekapan kos dan kecemerlangan perkhidmatan berjaya mengimbangi sebahagian besar impak berkenaan.
“Persekitaran global kekal dinamik, termasuk perkembangan geopolitik yang berterusan, dan kami akan terus mengurus faktor luaran ini secara berhemat sambil mengekalkan operasi yang stabil,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai berkata, kumpulan menjangkakan prestasi akan terus bertambah baik pada suku-suku akan datang meskipun persekitaran global kekal dinamik dan mencabar.
“Kumpulan kekal yakin terhadap pemulihan dan pertumbuhan berterusan industri sarung tangan, memandangkan sarung tangan menjadi barangan keperluan dalam pelbagai sektor.
“Dengan pelaksanaan berterusan inisiatif penambahbaikan kualiti dan pengoptimuman kos, Kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan sarung tangan; walaupun kadar penggunaan yang tinggi akan terus meningkatkan daya saing,” katanya.-UTUSAN










