KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan sebarang pakej rangsangan ekonomi buat masa ini susulan konflik yang berlaku di Asia Barat, kata Menteri Kewangan II.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan kerajaan ketika ini adalah memberi tumpuan kepada langkah jangka pendek bagi memastikan kestabilan ekonomi negara selain memantau perkembangan semasa yang berpotensi memberi kesan kepada Malaysia.
Menurut beliau, kerajaan masih menilai sama ada konflik di Asia Barat akan berlarutan atau sebaliknya sebelum mempertimbangkan sebarang langkah tambahan termasuk pakej rangsangan.
“Yang penting, kita masih belum tahu sama ada krisis di Asia Barat ini akan berlanjutan atau tidak.
“Jika konflik itu tidak berlanjutan, saya rasa tak perlulah buat apa-apa macam tu (pakej rangsangan ekonomi).
“Buat masa sekarang, pendekatan kita adalah melihat dari sudut jangka pendek bagi memastikan kestabilan yang sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Penglibatan MyCIF anjuran Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini, semalam.
Konflik di Asia Barat memuncak pada 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran sebelum Tehran membalas melalui serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan kepentingan AS serta sekutunya di rantau tersebut.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal dan semakan bersama Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan turut mengambil kira peningkatan pergerakan rakyat semasa musim perayaan yang lazimnya menyaksikan permintaan lebih tinggi terhadap bahan api.
Beliau berkata, syarikat minyak mempunyai pengalaman mengurus situasi tersebut setiap tahun dengan mengambil langkah proaktif.
“Ini termasuk menambah bekalan serta menempatkan lebih banyak tangki simpanan di kawasan yang mencatatkan penggunaan tinggi bagi memastikan bekalan tidak terputus.
“Kita juga mengambil kira pergerakan semasa musim perayaan.
“Jika melihat pengalaman tahun-tahun sebelumnya, syarikat minyak akan mengambil pendekatan menambah tangki simpanan di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi bagi memastikan bekalan tidak terputus,” katanya.
Sebelum ini, Amir Hamzah memaklumkan subsidi kerajaan bagi petrol meningkat kepada kira-kira RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan berbanding sekitar RM700 juta sebelum ini.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan ketika ini adalah memastikan rakyat terus dibantu dalam menghadapi kenaikan kos tenaga.
“Pada masa sama, kita juga menggalakkan rakyat serta syarikat di negara ini mengambil langkah berjimat dan berwaspada dalam penggunaan tenaga.
“Jika ada perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan penggunaan tenaga atau mengelakkan pembaziran, ia akan membantu kerana kesan kenaikan harga ini bukan sahaja melibatkan Malaysia, tetapi seluruh dunia,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan akan terus mengambil langkah bagi menampung kenaikan kos yang berlaku bagi mengurangkan beban rakyat.-UTUSAN










