The Skinny Bakers ubah strategi semasa pandemik, jualan hampir RM1 juta

The Skinny Bakers ubah strategi semasa pandemik, jualan hampir RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUBAHAN strategi ketika pandemik Covid-19 membolehkan jenama biskut tempatan, The Skinny Bakers mencatatkan jualan hampir RM1 juta apabila menukar model perniagaan daripada operasi kedai fizikal kepada konsep gifting dan tempahan korporat.

Pengasas The Skinny Bakers, Eniza Ellias berkata, perniagaan itu bermula secara kecil-kecilan di rumah pada 2016 apabila beliau menghasilkan biskut coklat chip bagi memenuhi permintaan ahli keluarga.

Menurutnya, idea tersebut tercetus apabila kakaknya yang sedang mengandung ketika itu menginginkan biskut coklat chip yang lebih premium dan berkualiti.

“Pada mulanya saya hanya buat untuk kakak saya. 

“Tetapi selepas itu kawan-kawan dia pula mula mahu. Pada awalnya kami beri percuma sahaja, namun ibu yang juga Pengasas Bersama jenama ini menasihatkan supaya ia dijadikan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Eniza berkata, perniagaan itu dimulakan dari rumah sebelum beliau melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di United Kingdom (UK).

Sepanjang tempoh tersebut, ibunya, Rogaya Ahmad yang juga Pengasas Bersama menguruskan operasi pengeluaran di Malaysia, manakala beliau memberi tumpuan kepada pemasaran, jaringan dan pengurusan digital dari luar negara.

The Skinny Bakers kemudian membuka beberapa cawangan termasuk di Subang, The Curve, Central I-City dan Putra Mall sebelum semua premis tersebut terpaksa ditutup ketika pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, situasi itu mendorong syarikat berkenaan menukar model perniagaan daripada jualan fizikal kepada konsep gifting dan tempahan korporat.

“Ketika pandemik, orang ramai tidak dapat berjumpa secara fizikal tetapi masih mahu menghantar hadiah kepada keluarga atau rakan.

“Jadi kami mula fokus kepada gifting dan tempahan korporat, dan dalam tempoh itu jualan meningkat dengan ketara sehingga hampir mencecah RM1 juta,” katanya.

Kini, The Skinny Bakers beroperasi sebagai pengeluar dan syarikat gifting dengan pelanggan terdiri daripada syarikat korporat termasuk Media Prima serta beberapa hotel lima bintang di Malaysia dan Singapura.

Menurut Eniza, syarikat itu memberi tumpuan kepada segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) selain memanfaatkan platform e-dagang seperti Shopee, TikTok dan Lazada bagi memperluas pasaran.

Dalam usaha memperkukuh jenama, The Skinny Bakers turut memperoleh semula sijil halal selepas berpindah ke kilang baharu bagi memastikan semua proses pengeluaran memenuhi piawaian keselamatan makanan.

Selain pasaran tempatan, syarikat itu merancang memperluas eksport dan menembusi rangkaian pasar raya seperti Village Grocer dan Jaya Grocer.

Pada masa sama, The Skinny Bakers turut memperkenalkan produk berasaskan identiti tempatan seperti hibiscus cookies yang menggunakan bunga kebangsaan Malaysia sebagai inspirasi produk.

Eniza yang memulakan perniagaan itu pada usia 26 tahun berkata, usahawan muda perlu berani bermula secara kecil-kecilan, fokus kepada satu perkara dan sentiasa bersabar dalam membangunkan perniagaan.

Beliau turut menggalakkan usahawan tempatan mendapatkan pensijilan halal kerana ia mampu meningkatkan keyakinan pelanggan serta membuka peluang pasaran yang lebih luas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN